Pusat Kecemerlangan Paralimpik bakal menjadi mercu tanda Malaysia. FOTO : MOHD ZAID / DS

 

Pusat Kecemerlangan Paralimpik di Kampung Pandan yang mengalami sedikit kelewatan dalam jadual pembinaannya dijangka bakal boleh digunakan sepenuhnya pada Februari 2013.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmed Shabery Cheek, projek yang sepatutnya siap pada November tahun lepas terpaksa mengalami sedikit perubahan jadual pembinaan selepas menghadapi masalah seperti penemuan batu hampar pada tapak projek dan masalah pembentungan air.

Ahmed Shabery bagaimanapun berpuashati dengan proses pembinaan pusat kecemerlangan yang bernilai RM50 juta ini selepas melawat tapak pembinaan projek yang meliputi blok asrama dan pentadbiran, lapangan memanah, gelanggang goalball dan badminton serta kolam renang bersaiz Olimpik.

“Pusat kecemerlangan  ini bakal menjadi mercu tanda Malaysia dalam membangunkan sukan Paralimpik serta bukti kerajaan komited dalam menghargai peranan atlet Paralimpik yang membantu meningkatkan mutu sukan negara” tambah Shabery lagi.

Ahmad Shabery mendengar penjelasan dari kontraktor.
FOTO : MOHD ZAID / DS

 

Dalam perkembangan lain, Ahmed Shabery masih bersikap terbuka untuk mendengar pandangan-pandangan profesional mengenai isu pencen atlet Paralimpik yang hangat diperkatakan buat masa ini.

“Saya sudah mendengar hujah dari Majlis Sukan Negara (MSN). Olimpik dan Paralimpik dua temasya berbeza dimana Olimpik mempunyai standart yang sudah ditetapkan manakala Paralimpik pula sering bertukar-tukar peraturan pada setiap temasya. Namun saya masih bersikap terbuka untuk mendengar pandangan profesional terutamanya dari Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan bukannya atas dasar sentimen semata-mata”.

Isu pemberian pencen buat atlet paralimpik negara ini timbul selepas beberapa pihak mendesak agar kerajaan memberikan pencen buat mereka yang telah menyumbang pingat dalam temasya Paralimpik London yang lalu.