PUMA Malaysia teruja meraikan sambutan Hari Raya tahun ini dengan menghulurkan ucapan Selamat Menyambut Aidilfitri kepada semua warga Malaysia.

Untuk tahun ini, jenama sukan gaya hidup global itu meraikan kedatangan Eid Mubarak bersama-sama peruncit utamanya, Al-Ikhsan, yang juga antara rakan usaha sama PUMA sejak sekian lama.

“Pertama sekali, mengikut tradisi Hari Raya, Puma Malaysia mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin kepada rakan-rakan kami yang beragama Islam dalam menyambut 1 Syawal.

“Ini detik sesuai untuk mengenang semula sejarah dan kami di Puma berharap sambutan tahun ini akan dikenang, bermula dengan sambutan bersama Al-Ikhsan, peruncit utama kami, ” kata Pengurus Besar Puma Malaysia dan Singapura, Sheryl Wong.

Puma Malaysia memulakan jualan runcit di rangkaian gedung Al-Ikhsan pada 2003 yang ketika itu hanya berjumlah 12 di seluruh negara.

Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd yang diwujudkan pada 1993, adalah sebuah syarikat peruncit barangan sukan berkonsepkan pelbagai jenama, termasuk Puma dan berkembang pesat secara agresif selaku rangkaian peruncit barangan sukan terbesar seluruh negara yang bercita-cita menjadi rangkaian peruncit gedung pelbagai jenama bertaraf dunia di Asia Tenggara.

Francais buatan Malaysia itu kini menjadi rangkaian peruncit barangan sukan terbesar, dengan kewujudan 110 kedai seluruh negara dan 10 lagi dijangka siap dalam tempoh dua bulan.

Menjelang 2015, Al-Ikhsan meletakkan sasaran untuk memiliki 200 kedai yang menjual barangan jenama Puma.

“Kami sentiasa bekerjasama dan bergerak seiringan sambil meletakkan kepentingan kepada peminat gaya hidup sukan di Malaysia,” kata Wong.

“Untuk perayaan Aidilfitri tahun ini, kami mengadakan rakaman foto, promosi dan promosi santai di rangkaian kedai Al-Ikhsan yang seragam dengan promosi kami di kedai Puma.

“Ini termasuk temu bual eksklusif penjaga gol bola sepak kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat, yang juga sahabat Puma dan hanya disiarkan di kedai Al-Ikhsan,” katanya.

Ini ditambah pula dengan diskaun khas sehingga 50% bagi produk tertentu Puma di Al-Ikhsan sepanjang bulan menjelang Hari Raya.

Turut disediakan paket angpow istimewa berwarna hijau menampilkan Khairul Fahmi dan pendatang baru dalam dunia lakonan, Siti Saleha.