Connect with:




Jenama sukan antarabangsa, PUMA telah baru-baru ini menganjurkan ‘PUMA House of Hustle’, suatu karnival sukan dan senaman yang diadakan buat julung kalinya di Malaysia.

Dihadiri oleh lebih dari 1,000 peminat aktiviti sukan dan kecergasan tanah air, acara dua hari itu diadakan di Sentul Depot, Kuala Lumpur dan ia menampilkan gabungan pelbagai sesi latihan kecergasan dan juga pertandingan sukan berpasukan seperti futsal dan bola keranjang dalam format 3 lawan 3 di bawah satu bumbung.

Khususnya, ‘House of Hustle’ juga adalah program pertama yang selaras dengan ‘Bulan Sukan Negara’, inisiatif terbaru Kementerian Belia dan Sukan yang bertujuan untuk memupuk perpaduan melalui sukan dan mendorong semangat kesukanan dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kami mahu memastikan semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama datang bersama untuk memupuk budaya kesukanan dan perpaduan dalam mengamalkan gaya hidup yang sihat dan cergas,” kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman menerusi laman media sosial beliau dalam satu kenyataan untuk menggalakkan semua rakyat Malaysia menyertai acara tersebut.

Pengurus Pemasaran PUMA Asia Tenggara, Tim Tham menyatakan bahawa idea di sebalik ‘House of Hustle’ adalah untuk menganjurkan sebuah acara yang lebih berkepelbagaian untuk peminat jenama tersebut menerusi gabungan aktiviti sukan kercegasan dan acara berpasukan.

“Kami sedia maklum bahawa komuniti penggemar aktiviti sukan dan kecergasan kini lebih cenderung untuk meneroka konsep-konsep baru dan menarik dalam mengamalkan gaya hidup yang aktif.

“Inilah sebab utama kami memutuskan untuk menggabungkan acara sukan berpasukan bersama aktiviti kecergasan, menerusi penambahan dua sukan kegemaran ramai, iaitu bola sepak dan bola keranjang, di acara ‘House of Hustle’,” kata Tham.

Suasana meriah acara tersebut menyaksikan ruang acara di Sentul Depot dipisahkan kepada beberapa zon, iaitu kawasan lapang untuk sesi latihan senaman berkumpulan dan juga beberapa gelanggang futsal dan bola keranjang untuk pertandingan masing-masing,

Mengiringi atmosfera acara dengan lagu-lagu rancak yang sesuai untuk sukan kecergasan, pelbagai aktiviti menarik yang lain seperti cabaran ‘Ninja Warrior’, beg menumbuk, simulator golf, cabaran bola keranjang, ‘vertical jump’, dan dinding foto juga disediakan untuk para peserta.

Sesi Latihan Kecergasan: Animal Flow, Rhythmic Boxing dan Latihan Intensiti Tinggi (High Intensity Interval Training)
Direka untuk menguji kekuatan dan batasan para peserta, tiga sesi yang mencabar selama 50 minit setiap rutin dianjurkan di ‘House of Hustle’. Yang pertama ialah latihan Animal Flow yang dikendali oleh Babel Fit, di mana para ketahanan otot para peserta dicabar dengan regangan dan pergerakan yang menyerupai haiwan.

Kelas kedua adalah Rhythmic Boxing bimbingan TRIBE Boxing, yang menggabungkan senaman kardio yang intensif dengan pergerakan tinju seperti jab, cross, hook dan upper-cut.

Kelas ketiga dan terakhir adalah sesi High Intensity Interval Training (HIIT) yang dikendali oleh Ministry of Burn, menampilkan latihan intensiti tinggi dan pergerakan badan pantas yang berperanan menguji daya tahan kardiovaskular peserta.

Khas buat peminat bola keranjang dan futsal, ‘House of Hustle’ juga menganjurkan pertandingan Bola Keranjang 3 lawan 3 dan juga Futsal 3 lawan 3. Pertandingan ini menyaksikan baucar tunai eksklusif PUMA berjumlah sehingga RM19,000 diberikan kepada pemenang dari kedua-dua kejohanan tersebut.

Pasukan juara untuk kategori futsal dan bola keranjang masing-masing membawa pulang RM 5,000, manakala pemenang tempat kedua menerima RM 3,000, dan pasukan yang mendapat tempat ketiga memenangi RM 1,500 masing-masing.

PUMA juga mempamerkan aplikasi senaman dan kecergasan mereka, PUMA TRAC, kepada peserta di ‘House of Hustle’. Menjanjikan pengalaman pengguna yang lebih sosial dan interaktif, aplikasi tersebut memaparkan ciri-ciri tambahan seperti ‘social leaderboard’, integrasi muzik menggunakan Spotify, pilihan ‘discovery’ untuk meneroka laluan larian baru dan banyak lagi.

Selain itu, aplikasi PUMA TRAC juga mampu menjejaki lebih daripada 30 jenis aktiviti sukan dan senaman termasuk berlari, berbasikal, berenang, yoga, bola sepak dan banyak lagi. Pelbagai jenis sesi ‘virtual gym’ yang dikendali oleh jurulatih dan duta Puma seperti HIIT, bina badan, balet, pilates dan sebagainya juga telah dipramuatkan untuk pengguna.

Seiring dengan usaha pihak kerajaan untuk membina sebuah negara yang sihat dan aktif, Tham menyatakan bahawa PUMA juga sentiasa komited terhadap inisiatif tersebut dan berhasrat untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengamalkan budaya hidup sihat dan cergas.

“PUMA telah menjadi tuan rumah untuk pelbagai acara sukan berskala besar di negara ini, antaranya acara ‘24-Hour Trainathon’ pada 2015, PUMA Night Run selama tiga tahun berturut-turut pada 2015, 2016 dan 2017, PUMA Train 24/7 pada tahun 2018, dan kini ‘House of Hustle’ pada tahun 2019.

“Kami berhasrat untuk mengekalkan momentum ini dengan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menjalani gaya hidup aktif menerusi penganjuran acara sebegini, pelancaran produk yang lebih inovatif dan penerajuan teknologi seperti aplikasi PUMA TRAC,” kata Tham.

Acara perdana yang dianjurkan dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan negara ini juga ditaja oleh rakan tajaan seperti Yakult, Zeiss, Unilever, Salonpas, Precise Rehab, Shoe Mo, dan Yogood.