Connect with:




Kelab bola sepak dari Perancis, Paris Saint Germain (PSG) hari ini mengumumkan pelancaran pejabat Asia Pasifiknya secara rasmi di Singapura.

Ibu pejabat serantau ini diketuai oleh Sebastien Wasels, Pengarah Urusan, Paris Saint-Germain Asia Pasifik dan bertekad merealisasikan matlamat kelab tersebut untuk mengukuhkan kehadiran antarabangsanya, di samping menzahirkan keunggulan jenamanya, memupuk kerjasama baharu, serta mengembangkan asas peminat di rantau ini.

Encik Nasser Al-Khelaifi, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Paris SaintGermain berkata, “Asia merupakan pasaran terpenting kami kerana kami mempunyai asas peminat yang kukuh di rantau ini. Selain itu, kami mendapati terdapat ramai bakat di rantau ini, dan tidak sabar-sabar untuk memupuk bakatbakat ini melalui pelbagai program kami yang terunggul, di samping mempromosikan nilai-nilai utama kota Paris kami.”

“Kami amat teruja untuk membuka pejabat antarabangsa pertama kami di rantau Asia dan membawa kelab kami lebih dekat kepada peminat kami,” tambah beliau.

Sebagai antara kelab bola sepak bertumbuh paling pesat di dunia, Paris SaintGermain telah berjaya menarik minat ramai pemain hebat termasuk Ronaldinho, David Beckham, Zlatan Ibrahimovic, dan baru-baru ini, Neymar Jr., Kylian Mbappé, Edinson Cavani dan Thiago Silva. Kini, saiz peminat kelab tersebut adalah ketujuh
terbesar di dunia dengan lebih 55 juta di seluruh dunia, dan 17 juta daripada jumlah ini adalah daripada Asia.

Pelancaran pejabat ini adalah selari dengan Jelajah Asia Paris Saint-Germain, yang bakal menyaksikan kelab ini bertarung dalam Piala Juara Antarabangsa di Singapura, diikuti dengan Trophée des Champions pada hari Sabtu, Ogos 4 di Shenzhen, China.

Ketika menegaskan kepentingan Malaysia untuk Paris Saint-Germain, Wasels berkata, “Sejak pelancaran kelab peminat kami di Malaysia, kami telah menyaksikan pertumbuhan yang amat memberangsangkan, dan peminat kami di Malaysia menunjukkan sambutan yang tinggi. Tambahan pula, aspirasi serta kejayaan kelab
kami telah memberikan inspirasi kepada mereka.”

“Jelajah Asia PSG merupakan antara inisiatif pertama kami untuk membawa perlawanan peringkat antarabangsa ke Asia, serta mendampingi para peminat kelab kami, penaja, dan rakan kerjasama kami bagi meraih manfaat daripada peningkatan kepopularan kelab kami di rantau ini.”

Wasels telah memberi janji untuk meningkatkan pelaburan menerusi pembangunan bola sepak remaja, e-sukan dan pelbagai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi mengeratkan perhubungan dengan komuniti di sekitar rantau ini, serta menerusi gandingan dengan pelbagai jenama dan syarikat sukan. “Asia sentiasa
dilihat sebagai batu loncatan dalam strategi pembangunan kelab kami di peringkat antarabangsa. Kami berharap dapat memanfaatkan penyertaan kelab kami dalam Piala Juara Antarabangsa serta pelancaran ibu pejabat Asia Pasifik kami untuk membina asas yang kukuh di Asia, supaya kami mampu terus berhubung dengan peminat dan rakan kerjasama kami di rantau ini,” demikian kata beliau.