Proton Satria Neo Untuk Dimenangi

 

Daftar nama anda segera untuk acara kayuhan jambori Cabaran Lumba Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) dan anda berpeluang memandu pulang sebuah Proton Satria Neo!

Kereta yang juga antara model popular keluaran Proton itu adalah hadiah utama bagi cabutan bertuah yang menawarkan hadiah bernilai hampir RM100,000.

Jambori Tradewinds adalah pembuka tirai LIMBC dan akan diadakan di Taman Lagenda, Kuah, Langkawi, pada 14 Oktober.

“Cabutan bertuah jambori Tradewinds LIMBC 2012 menawarkan pelbagai hadiah menarik dan lumayan! Saya percaya tiada penganjur yang menyediakan sebuah kereta sebagai hadiah utama,” kata penganjur yang juga ketua eksekutif Human Voyage Sdn Bhd, Datuk Malik Mydin.

Tiada Penganjur Yang Menyediakan Hadiah Sebuah Kereta!

 

Dengan hanya RM60, peserta jambori Tradewinds juga berpeluang membawa pulang barangan dan gajet serta peranti mudah alih seperti iPad, komputer peribadi tablet dan telefon pintar Blackberry selain jam tangan Tissot dan peralatan basikal.

“Peserta jambori Tradewinds akan menikmati kayuhan sejauh 40km dan berpeluang bersaing di sisi nama-nama besar selain dijanjikan beg cenderahati serta pingat bagi mereka yang menamatkan perlumbaan.

Jambori itu terhad kepada 1,000 pelumba dan dianggap pembuka tirai kepada edisi ketiga LIMBC pada 15-20 Oktober ini. Layari www.mtbmalaysia.com atau emel info@mtbmalaysia.com untuk maklumat lanjut. Penganjur boleh dihubungi menerusi talian +603-9222 0786 atau faksimili +603-9222 1786.

Peserta jambori Tradewinds akan menerima dua kemeja T eksklusif LIMBC, beg selempang, buku nota, botol air, aksesori dashboard kereta, magnet peti sejuk dan cangkir.

Edisi LIMBC yang ditaja bersama Tradewinds Corporation dan Yayasan Sime Darby, menawarkan jumlah hadiah wang tunai US$125,000 (RM400,000) dan terbuka kepada empat kategori – Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita,  Masters Lelaki dan Masters Lelaki Senior.

LIMBC 2012 akan bermula pada Isnin, 15 Oktober dengan prolog di Eagle Square, disusuli Peringkat 1 saingan sekeliling pulau 65km, Peringkat 2 perlumbaan dari Timur ke Barat Langkawi sejauh 45km, perlumbaan marathon sejauh 87km untuk Peringkat 3, merentas desa Olimpik untuk Peringkat 4 dan kemuncaknya Peringkat 5 di Pantai Kok.

Antara nama besar yang akan bersaing ialah pelumba No 1 dunia dalam siri marathon dunia Steffen Thum, juara bertahan Karl Platt dan Burry Stander yang menduduki tangga kelima di Sukan Olimpik di London bulan lalu.

Tradewinds Corporation Berhad dan Yayasan Sime Darby adalah penaja bersama selaku Rakan Penaja Platinum untuk LIMBC 2012, manakala Telekom Malaysia, Proton Holdings Berhad, Berjaya Corporation Berhad dan Maju Group sebagai Penaja Perak.  Rakan Penaja Gangsa ialah Kumpulan AmBank dan ALM Group Sdn Bhd.  LIMBC 2012 disokong oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Kementerian Pelancongan.