Alister McRae mencatatkan kejayaan untuk PROTON buat tahun kedua berturut-turut di Rali Malaysia serta kemenangan sulung beliau musim ini di Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC).

Juara bertahan APRC itu memandu S2000 Satria Neo bermula konservatif pada hari pertama, meningkatkan tahap persembahan pada hari kedua dan ketiga seterusnya menamatkan perlumbaan dengan mengagumkan.

Menduduki tempat kedua pada penghujung pusingan kedua, McRae mencatat masa terpantaspembukaan pusingan ketiga dan terakhir, melengkapkan 12.46km Tai Tak Court House dengan 10 minit 37 saat, 3 saat lebih pantas dari rakan sepasukan, PG Andersson.

Andersson yang mendahului perlumbaan terpaksa melupakan saingan di peringkat khas pusingan kesepuluh. Dengan pengunduran Andersson, Karamjit Singh dari Proton Cusco Rally R3 Team menjadi pemandu terpantas dalam kategori pacuan 2-roda dan mengakhiri di kedudukan 4 terpantas mengatasi rakan sepasukan, Akira Bamba yang memandu Satria Neo 1600cc yang memperolehi kedudukan ketujuh diikuti oleh Kenneth Koh di tempat ke-9. Pemandu India, Sanjay Takle yang turut memandu Satria Neo menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-8.

Pada peringkat khas ke-12, McRae meningkatkan jurang masa kepada 24 minit terhadap tempat kedua, Brian Green yang memandu Subaru Impreza WRX STI manakala Karamjit meningkat satu takuk ke tempat ketiga. Pemandu S2000 Skoda Fabia, Chris Atkinson ketinggalan di tangga keempat dengan perbezaan 25 minit.

“Kami sangat cemerlang dan bebas masalah untuk ke garisan penamat. Kami telah kehilangan sedikit masa disebabkan pancit pada hari kedua tetapi mampu untuk mengekalkan daya saing dan berjaya mengurangkan defisit,” kata McRae.

“Dengan cuaca yang sukar dijangka, Rali Malaysia pasti mengukuhkan status sebagai perlumbaan yang mencabar,” tambah McRae.

Kemenangan ini menjadi testimoni kekuatan dan prestasi Proton Satria dalam rali yang paling sukar di dunia. Dengan jarak keseluruhan 235.28km, Rali Malaysia terdiri daripada 15 peringkat khas yang diadakan di atas permukaan kasar dan pelumba harus melalui beberapa rupa bentuk bumi yang mencabar dalam jelajah APRC.