Connect with:




Tidak dapat dinafikan, jumlah acara larian di Malaysia saban tahun semakin meningkat. Setiap hujung minggu, ada sahaja acara larian dianjurkan bermula dari jarak 5 kilometer hinggalah jarak marathon penuh (42km).HSN21km adalah salah satu acara yang menjadi pilihan ramai pelari di Malaysia. Memasuki tahun ketiga penganjuran, edisi tahun ini sekali lagi menyaksikan Proton hadir selaku penaja utama. Jenama HSN21km semakin kuat dan boleh dianggap sebagai larian marathon separuh terbaik di Malaysia. Ikuti temubual bersama Riduwan Matni, Ketua Pegawai Eksekutif MUSE Group selaku penganjur acara untuk mengetahui lebih lanjut mengenai larian tersebut.

1) DS- Sebelum berbicara lebih lanjut mengenai HSN21km, boleh tuan huraikan secara ringkas mengenai penglibatan MUSE Group dalam industry pengurusan acara sukan di Malaysia?

Saya telah berada dalam industri ini selama 25 tahun dengan pengkhususan terhadap penganjuran acara sukan, rancangan televisyen dan konsultansi sementara MUSE Group pula sudah 7 tahun beroperasi. Kami mempunyai tiga pejabat iaitu di Bangkok, Singapura dan Kuala Lumpur. Strategi kami sejak 3 tahun kebelakangan ini sememangnya tertumpu kepada pengajur acara beramai-ramai (mass participation) seperti larian, berbasikal dan triathlon. Salah satu pencapaian terbesar kami adalah dapat bekerjasama dengan kelab-kelab terkemuka dunia termasuk membawa Barcelona dan Liverpool ke Bangkok.

 

2) DS – Bagaimana datangnya idea untuk menganjurkan larian HSN21km ini?

Idea penganjuran HSN21km ini datang selepas kami diberi maandat oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menganjurkan satu acara besar bersempena Hari Sukan Negara. Alhamdulillah, HSN21km kini memasuki tahun ketiga penganjuran. Kami sangat berbesar hati menerima sokongan terutamanya dari Proton yang menaiktaraf dari penaja ke penaja utama acara ini.

 

3) DS –  HSN21km dilabel sebagai antara acara larian separuh marathon terbaik di Malaysia dikalangan para pelari. Apakah rahsia dalam mencapai tahap sedemikian?

Saya sangat bangga dengan pencapaian ini. Bukan mudah untuk mendapat kepercayaan orang ramai dan menjadi acara larian pilihan di Malaysia. Saya percaya ia adalah hasil kerja keras berpasukan. Selain itu, kami sangat berhati-hati dari segi pemasaran kerana ia berkait rapat dengan jenama penaja-penaja ini. Tidak dilupakan, keutamaan terhadap peserta. Disebabkan itu jumlah peserta yang kami sasar bukanlah jumlah yang besar. Ini kerana kami mahu memberikan pengalaman terbaik buat peserta.

 

4) DS -Apakah kelainan edisi tahun ini berbanding dua edisi sebelum ini?

Tahun ini memang banyak keunikan berbanding edisi 2016 dan 2017. Jika sebelum ini acara diadakan di Dataran Merdeka, kali ini HSN21km akan dianjurkan di KL Sports City. Apa yang menarik, peserta akan memulakan dan menamatkan larian di atas trek Stadium Nasional Bukit Jalil. Ia satu pengalaman yang cukup unik untuk berlari di atas trek yang sebelum ini digunakan atlet-atlet elit sahaja. Selain itu, baju yang diberikan kepada peserta sangat berkualiti dan cantik dimana kami gunakan teknik sublimation untuk pencetakan baju. Seperkara lagi yang menarik mengenai HSN21km 2018 adalah kami menerusi pensijilan dari Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) dimana ia sangat penting untuk setiap catatan diterima sebagai rekod rasmi. Bukan semua acara larian di Malaysia menerima pengiktirafan ini.

 

5) DS – Hadiah menarik juga ditawarkan kepada para peserta. Boleh tuan huraikan perkara ini?

Ya. Hadiah yang kami berikan juga salah satu punca sambutan menggalakan yang kami terima dari komuniti larian. Kami berbesar hati dengan Proton yang menaja hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah Proton Iriz. Selain itu, kami turut menawarkan hadiah percutian serta slot menyertai perlumbaan marathon di Gold Coast, Okinawa dan juga Bangkok.

 

6) DS – Bagaimanakah respond dan sambutan yang diterima dari segi pendaftaran.

Pada edisi pertama, walaupun dalam tempoh yang singkat, kami berjaya mendapatkan penyertaan seramai 6287 peserta diikuti 10058 orang pada tahun berikutnya. Tahun ini, kami menerima penyertaan hampir 12000 peserta. Ini jelas menujukkan jenama HSn21km semakin kukuh dan kami cukup gembira melihat peningkatan penyertaan setiap tahun.

 

7) DS -Dari segi larian, apa yang boleh para peserta jangka dengan penganjuran untuk edisi tahun ini?

Kami beri jaminan untuk memastikan pengalaman terbaik dikecapi para peserta dari segi keselamatan dimana laluan larian tidak akan memasuki lebuhraya sebaliknya bermula dari Stadium Nasional Bukit Jalil, melalui kawasan sekitar sebelum kembali semula ke stadium kebanggaan rakyat Malaysia ini. Jumlah stesen hidrasi juga pastinya mencukupi. Tidak kira apa kategori jarak sekalipun, kami akan pastikan peserta berpuas hati dan gembira. Selain itu, terdapat banyak aktiviti sampingan seperti konsert mini dan penjualan barangan. Saya jamin HSN21km 2018 akan berlangsung dengan meriah.

8) DS – Apakah pelan seterusnya untuk MUSE Group serta harapan tuan terhadap HSN21km 2018?

Bagi MUE Group, kami merancang untuk menganjurkan sekurang-kurangnya 18 acara sekitar Asia pada tahun hadapan termasuk di Malaysia. Bakal ada satu acara besar yang cukup eksklusif diadakan di sini namun saya hanya boleh umumkan dalam tempoh beberapa bulan lagi. Mengenai HSN21km pula, saya berharap acara tahun ini dijayakan dengan sempurna. Keutamaan saya adalah memastikan jenama HSN21km ini menjadi acara larian eksklusif dimana orang ramai akan mengingati HSN21km sebagai acara marathon separuh nombor satu di Malaysia.