Connect with:




Selepas Mercedes sah menggugurkan Pascal Wehrlein dari program mereka pada hujung musim ini, principal pasukan Mercedes, Toto Wolff secara terbuka mengakui akan menantikan kehadiran semula pelumba Jerman itu jika berpeluang kembali bersaing di saingan Formula Satu pada masa akan datang.

Setelah digantikan Charles Leclerc di Sauber, Wehrlein yang memulakan aksi dalam sukan F1 pada 2016 sebagai sebahagian daripada pelumba program remaja Mercedes selepas menjuarai DTM tahun sebelumnya tidak lagi dapat beraksi.

Wehrlein yang kembali ke saingan DTM musim ini setelah gagal menempatkan diri di saingan F1 akan mengakhiri kontrak beliau bersama Mercedes hujung tahun ini menerusi persetujuan bersama.

Kehadiran pemandu remaja berbakat seperti Esteban Ocon dan George Russell membuatkan Wolff lebih memikirkan masa depan program itu.

“Ada banyak sebab mengapa kami memulakan program remaja ini dan salah satunya adalah kami ingin membantu pemandu berbakat dan Mercedes sentiasa mendorong Wehrlien sejak awal kariernya lagi.

“Kami bertemu ketika dia berusia 16 tahun dan banyak yang telah kami lalui bersama daripada perlumbaan di ADAC, F3 dan kemudian DTM.

“Hal sama turut terjadi buat George Russell dan Esteban Ocon tapi kini kami sudah berada pada tahap tidak mempunyai pasukan remaja dan bagi saya jika anda tidak mempunyai tempat buat mereka, maka anda harus mula berfikir mengenai pengurangan pemandu dan melepaskan mereka atau mengubah strategi. Itulah yang sedang kami lakukan.

“Sejujurnya kami masih dalam dilemma ketika ini. Kami akan melihat kembali perancangan buat Russell dan Ocon, kemudian baru langkah seterusnya akan diputuskan,” katanya.