Connect with:




4 pasukan bakal membuat perhitungan pada malam dan pagi ini untuk 2 slot separuh akhir pertama. Saingan Piala Dunia kali ini sudah pun sampai ke peringkat suku akhir dimana 8 pasukan bakal menentukan nasib mereka harini dan esok.

Brazil vs Belgium, 2.00 AM

Pertemuan kedua-dua pasukan ini pasti menarik ekoran mereka belum pernah tewas lagi.

Bagi skuad kendalian Tite prestasi mereka nampak begitu konsisten. Dari segi pertahanan skuad Selecao berada dalam keadaan terbaik dan mereka hanya melepaskan 1 gol sahaja setakat ini.

Untuk perlawanan ini, Casemiro terpaksa disisihkan kerana beliau telah mengumpul 2 kad kuning. Firmino juga dijangka akan bermula sebagai pemain utama. Pasti menarik untuk kita saksikan barisan hadapan skuad ini dalam mencari gol.

Neymar sekali lagi akan menjadi tumpuan dalam perlawanan ini. Impak yang beliau beri kepada pasukan akan ditagih para pemain dan jurulatih bagi membantu Brazil sekali lagi mencari kemenangan meskipun pemain ini suka ‘berlakon’ di atas padang.

Manakala bagi Belgium, mereka hampir-hampir ditunjuk jalan keluar oleh Jepun namun jaringan minit terakhir membolehkan mereka menghidupkan kembali cabaran di Piala Dunia ini.

Kekuatan pasukan Belgium terarah kepada serangan mereka. 4 perlawanan, 12 gol cukup untuk membuktikan mereka cukup bahaya di hadapan gol. Lukaku dan Hazard serta Kevin De Bruyne sudah pasti akan menjadi kunci utama untuk Belgium.

Uruguay VS Perancis, 9.00 PM

Oscar Tabarez perlu memikirkan alternatif lain memandangkan Edinson Cavani masih lagi dalam keadaan ragu-ragu untuk diturunkan dalam perlawanan malam ini selepas dibelenggu kecederaan yang dialaminya ketika perlawanan tempoh hari menentang Portugal. Jika Cavani tidak diturunkan, tugas mencari gol pasti terarah kepada bintang Barcelona iaitu Luis Suarez.

Barisan pertahanan Uruguay juga tidak kurang mantapnya, dengan Fernando Muslera telah mengumpul ‘clean-sheet’ paling banyak iaitu 3 perlawanan tanpa bolos. Uruguay bakal meneruskan misi untuk layak ke semifinal ke-5, iaitu kali ke 2 dalam 3 edisi yang lepas.

Bagi pihak Perancis pula, semuanya dilihat serba menjadi dengan gandingan Kylian Mbappe dan Antoine Griezman menjadi sandaran utama mereka ketika ini. Jurulatih Oscar Tabarez dilaporkan bakal memberikan tumpuan yang lebih kepada pemain ini jika mahu mematikan nadi utama pasukan Les Bleus.

Anak-anak buah Didier Deschamps pula mempunyai rekod yang agak cemerlang ketika bertemu pasukan dari Amerika Selatan. Mereka belum pernah tewas dalam 9 perlawanan dengan mencatatkan 5 kemenangan dan 4 seri.

Penentuan 2 pasukan pertama yang bakal layak Piala Dunia bakal dimeterai pada malam ini.Sama ada Brazil & Belgium ataupun Perancis dan Uruguay

Anda pilih yang mana?