Connect with:




Perancis dan Belgium, negara yang menggunakan bahasa yang sama untuk berkomunikasi (Bahasa Perancis) bakal turun pagi ini untuk menentukan slot pertama perlawanan akhir yang bakal berlangsung Ahad ini.

Kedua-dua pasukan ini telah bertemu sebanyak 73 kali sepanjang 114 tahun dan 3 daripadanya ialah dalam kejohanan besar seperti perlawanan Piala Dunia. Belgium mendominasi dengan menang  sebanyak 30 kali berbanding Perancis 24. Tambah menarik apabila Thierry Henry, lagenda Perancis ketika memenangi Piala Dunia 1998  bakal menentang pasukan kesayangannya itu kali ini sebagai penolong jurulatih pasukan Belgium.

Blaise Matuidi dijangka kembali ke kesebelasan utama Perancis selepas Corentin Tolisso yang menggantikan tempat beliau tempoh hari dilihat kurang berkesan. Olivier Giroud pula dijangka tetap menjadi pilihan Didier Deschamps untuk meneraju serangan disebalik tidak mempunyai satu pun ‘shot-on-target’ untuk Les Bleus kali ini.

Di kem Belgium pula, Roberto Martinez terpaksa melupakan khidmat bek kanan Thomas Meunier akibat pergantungan ketika perlawanan menentang Brazil tempoh hari. Tempat beliau dijangka akan diambil alih oleh Toby Alderweireld atau Yannick Carrasco bergantung kepada formasi yang bakal dipilih oleh Martinez.

Romelu Lukaku bakal menjadi perhatian sekali lagi untuk The Red Devils setelah terlibat dengan 20 gol untuk Belgium sebelum ini (17 gol dan 3 assists). Tidak dinafikan Kevin De Bruyne dan Lukaku merupakan nadi terpenting buat skuad Mertinez untuk sampai ke tahap separuh akhir ini.

Jika Perancis menang, ini merupakan final ke-3 mereka dan akan menjadi peluang buat skuad emas mereka membawa pulang Piala Dunia buat kali ke-2 ke Paris setelah melakukannya buat kali pertama pada 1998. Buat Belgium pula, ini merupakan semifinal kedua mereka setelah tewas pada peringkat yang sama kepada Argentina pada 1986.

Jadi berapakah ramalan anda untuk perlawanan pagi ini? Anda rasa perlawanan ini akan tamat dalam masa 90 minit atau ke penentuan penalti?