Connect with:




Aksi terakhir Liga Perdana Inggeris bakal menjadi penentuan kejuaraan musim ini selepas persaingan sengit antara dua pasukan iaitu penyandang juara, Manchester City dan pesaing utama, Liverpool. Mereka kini hanya dibezakan dengan satu mata dan perlawanan terakhir akan menentukan siapa yang lebih layak untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris.

Kami akan memberi sedikit previu tentang aksi terakhir kedua-dua pasukan. Jom kita lihat.

 

Brighton & Hove Albion vs Manchester City

Skuad kendalian Pep Guardiola bakal bertandang ke Stadium Amex untuk menentang pasukan Brighton. City diletakkan sebagai pilihan untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini selepas berjaya melakukan kebangkitan dengan mengejar dan memintas kedudukan Liverpool yang pada awalnya berada di puncak liga dengan kelebihan tujuh mata.

City kini satu mata dihadapan Liverpool akan mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka musim lepas. Namun, City tetap harus waspada ancaman daripada Brighton walaupun mereka telah terselamat daripada penyingkiran ke Liga Kejuaraan.

Aksi terakhir menyaksikan Brighton berjaya mengikat Arsenal dengan keputusan 1-1. Malah, kali ini mereka bertemu City di halaman sendiri. Itu mungkin satu kelebihan kepada mereka bermain di hadapan penyokong yang ramai.

Berdasarkan rekod pertemuan di Liga Perdana Inggeris, City pernah bertemu Brighton sebanyak tiga kali sebelum ini dan City menang kesemua perlawanan. Kali terakhir di Etihad musim ini City berjaya menewaskan Brighton 2-0. Mereka juga baru-baru ini bertemu dalam saingan separuh akhir Piala FA Emirates yang menyaksikan City menang 1-0.

City bakal mengharapkan jentera serangan mereka yang diketuai oleh Sergio Aguero untuk merobek gawang lawan serta memerlukan pertahanan yang kukuh untuk mengekang serangan serta mengelakkan daripada bolos. Manakala, Brighton pula akan mengharapkan kuda tua mereka, Glenn Murray untuk merobek gawang City.

 

Liverpool vs Wolverhampton Wanderers

Skuad kendalian Jurgen Klopp wajib menang perlawanan terakhir dan mengharapkan Brighton dapat melakukan kejutan ke atas City. Prestasi Liverpool di akhir musim ini dilihat agak positif dan meningkat apabila mereka berjaya membuat comeback dalam perlawanan menentang Barcelona di separuh akhir Liga Juara-Juara.

Liverpool akan melayan kunjungan Wolves di stadium keramat mereka di Anfield dan mengharapkan tuah di tempat sendiri dan bantuan daripada Brighton dapat menamatkan kemarau 29 tahun mereka menjulang trofi Liga Perdana Inggeris.

Namun, lawan terakhir mereka bukan calang-calang pasukan. Mengikut rekod, dalam aksi Liga Perdana Inggeris, mereka telah bertemu sebanyak 9 kali sebelum ini. Liverpool menang enam, seri dua kali dan Wolves menang sekali.

Tetapi, musim ini di Piala FA Emirates, Liverpool tersingkir di pusingan ketiga selepas tewas kepada lawan yang bakal mereka hadapi dalam aksi terakhir.

Liverpool semestinya mengharapkan penjaring terbanyak mereka, Mohamed Salah dan Sadio Mane untuk menghasilkan sesuatu yang berharga buat pasukan. Namun mereka tetap perlu waspada ancaman daripada dua gandingan hebat Wolves iaitu Raul Jimenez dan Diogo Jota.

 

** Jika City tewas dan Liverpool seri untuk aksi terakhir liga, juara akan ditentukan melalui perbezaan jaringan dan bolos. Dan jika berlaku sedemikian, Liverpool perlu mengharapkan Brighton menjaringkan sekurang-kurangnya empat gol menentang City untuk mereka menjulang piala.

Aksi terakhir akan berlangsung pada 12 Mei ini jam 10 malam waktu Malaysia. Kesemua perlawanan akan dijalankan secara serentak.

Foto : Sportskeeda