Previu Malaysia vs Hong Kong : Vingada Perlu Buktikan Sesuatu

Malaysia bakal turun menentang Hong Kong di perlawanan kedua Kumpulan B malam ini dalam misi menghidupkan peluang untuk menempah slot ke Piala Asia 2019 di UAE nanti.

Perlawanan pada malam ini merupakan perlawanan ke-4 dibawah kendalian jurulatih baru dari Portugal iaitu Eduardo ‘Nelo’ Vingada namun skuadnya masih belum lagi menang dalam kesemua perlawanan tersebut. Hanya kemenangan sahaja boleh ‘memadamkan’ permulaan kisah buruk Vingada dalam skuad negara ketika ini.

Kemenangan malam ini boleh menaikkan moral pasukan Harimau Malaya memandangkan lawan seterusnya didalam kumpulan ialah pasukan tumpuan dan juga pasukan terkuat iaitu, Korea Utara.

Persiapan


‘Cuti’ sebulan yang dihadiahkan untuk memberi laluan kepada Sukan Sea seharusnya dipergunakan sebaik mungkin oleh jurulatih dan pemain dalam membentuk persefahaman melalui latihan oleh Vingada.

Tiada laporan kecederaan pemain setakat ini setelah dua perlawanan persahabatan (menentang Syria dan Myanmar) dan Nelo Vingada mempunyai skuad yang penuh kecuali pemain yang beraksi untuk Sukan Sea baru-baru ini.

Kiko Insa, Safiq Rahim Jadi Tumpuan

Pemilihan pemain naturalisasi dari Sepanyol iaitu Francisco ‘Kiko’ Insa oleh Vingada kedalam skuad kali ini dilihat bakal menjadi penyelesaian dibahagian tengah bertahan negara sebelum ini. Syamim Yahya, Amirulhadi Zainal dan Safiq Rahim pernah diletakkan di posisi itu sebelum ini dan Kiko Insa bakal mengambil alih dengan kelebihan fizikal dan gaya permainan beliau yang lebih ‘combat’.

Kebolehan yang dimiliki oleh Kiko Insa dari segi defensif bakal memberi lebih ‘kebebasan’ buat Safiq Rahim untuk merencana serangan pasukan negara malam ini. Perkara ini jelas terbukti di Pasukan JDT sebelum ini apabila gandingan Harris Harun dan Safiq menjadi nadi kejayaan Liga Super selama 3 musim

Dibahagian pertahanan pula Vingada dilihat tiada masalah dengan kehadiran semula seorang lagi pemain yang kembali dari persaraan iaitu Aidil Zafuan yang sangat berpengalaman diperingkat antarabangsa dan bakal dibantu oleh Shahrom Kalam, Rizal Ghazali dan Nazirul Naim.

Hazwan Bakri, Darren Lok dan Shahrel Fikri pula bakal bersaing untuk merebut posisi serangan memandangkan posisi sayap hampir pasti menjadi milik Baddrol Bakhtiar dan Syazwan Zainon.

Tiada Alasan Untuk Tidak Menang


Melihat kepada persiapan dan skuad yang ada ketika ini, Vingada tidak mempunyai masalah dan alasan lagi untuk memberikan keputusan positif pada perlawanan malam ini. Berdasarkan rekod, Malaysia dilihat mempunyai kelebihan dimana Hong Kong tidak pernah mencatatkan kemenangan dalam 3 perlawanan menentang negara sebelum ini.
Foto Kredit: Asiana.my