Connect with:




Previu Kumpulan A
Uruguay Vs Russia
25 Jun 2018, 10.00 PM

Aksi terakhir kumpulan A antara Uruguay dan Russia dijangka menarik apabila kedua-dua pasukan sudah melayakkan diri ke pusingan kalah mati dan kini mereka akan bertemu untuk menentukan siapa bakal juara kumpulan A.

Dilihat dua perlawanan awal pasukan Uruguay, mereka seakan-akan bergelut untuk menyesuaikan diri dalam kempen Piala Dunia kali ini apabila sekadar mampu mencatat kemenangan tipis 1-0 dalam perlawanan sebelum ini.

Jika mereka meneruskan rentak prestasi seperti ini, ia pasti akan menjadi sedikit sukar kerana lawan mereka kini berada dalam ‘form’ terbaik.

Ketua jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez harus bijak dalam percaturan untuk perlawanan terakhir ini jika tidak mahu terjerat dengan pasukan tuan rumah. Suarez dan Cavani akan terus diberi kepercayaan untuk merobek gawang Russia dalam perlawanan ini.

Skuad The Sky Blue perlu memastikan pertahanan mereka berada dalam keadaan terbaik jika di mahu menjadi mangsa seperti mana Russia membaham lawan mereka sebelum ini.

Manakala pasukan tuan rumah, Russia pula dilihat begitu cemerlang kali ini apabila menjaringkan 8 gol dalam dua perlawanan sekali gus memberi amaran awal kepada Uruguay.

Ia jelas memberi gambaran bahawa setiap pemain Russia mampu menjaringkan gol tanpa bergantung kepada seseorang pemain sahaja.

Penyerang Russia, Denis Cheryshev akan menjadi sandaran utama untuk Sbornaya dalam memburu kemenangan malam ini. Dengan tiga jaringan dalam dua perlawanan, pasti beliau akan menjadi tumpuan dalam perlawanan ini.

Bermain di halaman sendiri dengan sorokan penyokong setia tuan rumah, sedikit sebanyak akan memberi kelebihan kepada pasukan Russia untuk perlawanan terakhir kumpulan A.

Siapakah bakal menjuarai kumpulan A? Russia atau Uruguay? Yang pasti, setiap pasukan perlu bijak dalam percaturan kerana mereka bakal bertemu dengan jaguh Eropah di pusingan kedua, Sepanyol atau Portugal.

Ramalan Dunia Sukan

Uruguay 1 vs 1 Russia