Previu Final Bolasepak Lelaki Sukan Sea 2017 : ‘Replay’ Final 2001 Di Shah Alam.

16 tahun lalu, Stadium Shah Alam menjadi saksi pasukan negara kita tewas ditangan lawan yang sama bakal dihadapi malam ini iaitu Thailand. Ketika itu, Thailand menang dengan jaringan 1-0 dimana gol yang dihasilkan oleh Teeratip Winothai pada minit ke-90 telah meranapkan impian Malaysia untuk meraih pingat emas bolasepak.

Malam ini, sekali lagi Harimau Muda turun di Shah Alam untuk membalas ‘luka’ lama.

Thailand Optimis

Berdasarkan pertemuan terkini kedua-dua pasukan, ternyata pasukan dari negara Gajah Putih itu mempunyai kelebihan yang besar. Malaysia tewas dalam 3 perlawanan berturut-turut dengan jurang gol yang besar iaitu 9 berbalas 1 (tewas 2-1,3-0,4-0). Jikalau dilihat daripada rekod ini, semestinya pasukan Thailand berkeyakinan tinggi untuk berhadapan dengan Malaysia memandangkan mereka juga merupakan juara bertahan sejak dua edisi Sukan Sea yang lepas.

Namun, pentas final merupakan sesuatu yang berbeza. Sesiapa yang tidak mampu menyerap tekanan pasti akan melakukan kesilapan dan bakal dihukum. Bagi skuad negara, bermain dihalaman sendiri dengan lebih 80 ribu penyokong pastinya menjadi azimat buat anak-anak buah Dato’ Ong Kim Swee untuk mencipta kejutan.

Dato’ OKS Pakar Taktikal Kejohanan Karnival

Jika dilihat dengan rekod-rekod terdahulu, beliau seperti sudah masak dengan taktikal untuk bermain dalam kejohanan yang padat dan singkat. Kredibiliti beliau sudah terbukti dengan menjuarai kejohanan pada 2011 menerusi barisan pemain bawah 23. Maka, tidak hairanlah presiden FAM meletakkan beliau kembali dalam posisi yang sama untuk kejohanan kali ini.

Memetik daripada temuramahnya untuk Astro Arena, “Permainan cantik tidak akan memenangkan anda perlawanan, dalam perlawanan akhir ini keputusan adalah perkara yang penting.”

Mampukah N.Thanabalan Menyerap Tekanan?

Nama Thanabalan Nadarajah ataupun ‘The Flying Jang’’ mula menjadi sebutan dikalangan peminat bolasepak negara khususnya dan Sukan Sea umumnya. 4 gol dalam 4 perlawanan sudah cukup membuktikan pemuda dari Bahau ini mampu mencetak gol ketika negara memerlukannya. Gaya permainannya persis lagenda AC Milan, Fillipo Inzanghi yang tidak memerlukan banyak gelecekan untuk menjaringkan gol tetapi hanya memerlukan masa dan ruang yang tepat untuk menjaringkan gol.

Ketika ditemuramah oleh Astro Arena selepas semifinal tempoh hari, Thanabalan menyatakan bahawa final ini merupakan final kali pertama buatnya bermain untuk negara. Berada di tahap ini bukanlah sesuatu yang mudah buat seorang pemain untuk mengekalkan ‘composure’ atau ketenangan ditambah pula dengan tumpuan media terhadap anak muda ini.

Pemain Tumpuan (Safawi Rasid-Chenrop Samphaodi)

Safawi Rashid boleh dikatakan menjadi kunci utama beberapa kemenangan skuad negara sebelum ini. Berbahaya ketika melancarkan gerakan serangan dan juga bola mati (set-piece), pemain bintang JDT ini pasti menjadi tumpuan pertahanan pasukan Thailand malam ini. Bertubuh kecil dan mempunyai kaki kiri yang berbisa, Safawi perlu mengoptimumkan kebolehannnya malam ini untuk menutup mulut para pengkritik mengenai kontroversi pemilihannya dalam skuad kali ini.

“Rahsia pemain Malaysia penuh dalam ‘poket’ saya.’’ komen Chenrop menjelang perlawanan akhir sudah cukup untuk menyatakan beliau cukup yakin dengan prestasi pasukannya sekarang. Walaupun hanya menjaringkan 2 gol setakat ini, kelibat beliau tidak boleh dinafikan bakal memberi masalah buat Adib Zainudin & Co di bahagian pertahanan. Penyerang BEC Tero Sesana ini sudah berpengalaman meraih emas ini 2 tahun lalu di Singapura dan beliau sudah tentu akan cuba untuk mempertahankannya lagi pada edisi kali ini.

Kesimpulan

Tekanan bermain di perlawanan final bukanlah sesuatu yang mudah untuk diserap oleh setiap pemain yang dipertanggungjawabkan diatas padang. Ruang untuk melakukan kesilapan terlalu kecil dan pemain tidak boleh leka walaupun sekelip mata kerana tiada lagi perlawanan selepas ini untuk menebus kesilapan tersebut.

Buat pemain negara, walau apapun warna pingat pada malam ini, berjuanglah demi negara dan bermainlah dengan penuh semangat kesukanan!

Selamat Berjuang Harimau Muda!

Foto Kredit: FB Muhammad Ali, Asiana.my