Connect with:




ICC Liga Kriket Dunia merupakan kejohanan tahunan yang dianjurkan oleh Majlis Kriket Dunia (ICC) bagi negara-negara yang bukan merupakan pasukan test. Ia juga bertindak sebagai laluan kepada pasukan-pasukan non-test ini layak ke Piala Dunia.

Dibahagikan kepada 5 divisyen, akan berlaku promosi dan penyingkiran pasukan. Bagi divisyen utama, ia akan menjadi pentas kelayakan Piala Dunia sementara divisyen terbawah iaitu divisyen 5 bakal menyaksikan pasukan yang tersingkir perlu bermain di peringkat zon pada kejohanan seterusnya.

Saingan divisyen empat menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah akan menerima cabaran 5 pasukan lain iaitu Uganda, Denmark, Bermuda, Jersey dan Vanuatu. Misi setiap pasukan adalah sama – berada dua tangga teratas untuk layak ke divisyen 3. Jika tidak mampu, cukup untuk kekal di divisyen sama. Berada di dua tangga terbawah akan menjadi malapetaka kerana bakal tersingkir ke divisyen 5.

Ikuti previu eksklusif kesemua 6 pasukan yang bertanding dalam ICC Liga Kriket Dunia Divisyen 4 bermula 29 April hingga 5 Mei ini di Kuala Lumpur.

______________________________________

(Photo by Peter Lim/Malaysian Cricket Association)

MALAYSIA

KETUA JURULATIH: Sampath Pareira
PENCAPAIAN 2017: Tempat keenam divisyen 3 Liga Kriket Dunia
PEMAIN TUMPUAN: Anwar Arudin, Faiz Mohammad Noor

PREVIU: Tahun 2017 bukanlah tahun terbaik buat ukan kriket negara. Walaupun memenangi emas dalam acara ODI Sukan SEA di Kuala Lumpur, pasukan negara bagaimanapun terlepas satu emas kepada Singapura dalam acara T20.

Sebelum Sukan SEA, skuad negara menerima kejutan di Uganda dalam kejohanan Liga Kriket Dunia Divisyen 3 – ditewaskan empat kali dan hanya satu kemenangan dicatatkan sekaligus menyaksikan pasukan negara berada di tangga terbawah sekali. Hakikat perlu ditelan, Malaysia jatuh ke divisyen empat.

“Sememangnya apa yang terjadi di Uganda tahun lalu satu kenangan pahit buat kami para pemain. Permainan kami serba tidak menjadi” kata ketua pasukan, Anwar Arudin.

“Terus terang, memang kami mengambil sedikit masa untuk ‘move on’ dari kegagalan tersebut. Bagaimanapun, selepas memenangi emas di Sukan SEA, kami semakin bersemangat dan mahu jadikan pentas di laman sendiri ini sebagai medan kebangkitan kriket negara” tambahnya.

Sebagai persiapan, pasukan negara telah terbang ke Sri Lanka dari 16 Februari hingga 10 Mac bagi mengadakan perlawanan persahabatan dengan lima pasukan di sana.

Bagi salah seorang pemain berpengalaman negara, Ahmad Faiz Mohammad Noor, dia optimis Malaysia mampu kembali layak ke divisyen tiga tahun depan.

“Di Uganda, cuaca dan persekitaran memainkan peranan terhadap penurunan prestasi kami. Saya percaya, 5 pasukan lain akan berdepan kesukaran bermain di sini.

“Maka, kami perlu ambil kesempatan ini untuk beraksi sebaik mungkin sambil mengharapkan sokongan padu penyokong negara seperti yang ditunjukkan di Sukan SEA yang lepas bagi menaikkan semangat kami” tambah Faiz.

Skuad negara juga diperkuatkan dengan jurulatih baharu, Sampath Pareira dari Sri Lanka yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kejurulatihan kriket termasuk individu yang mencungkil bakat bintang kriket Sri Lanka, Niroshan Dickwella.

_______________________________

UGANDA

KETUA JURULATIH: Steve Tikolo
PENCAPAIAN 2017: Tempat kelima divisyen 3 Liga Kriket Dunia
PEMAIN TUMPUAN: Roger Mukasa, Naeem Bardai

PREVIU: Seperti Malaysia, Uganda juga mahu melupakan tahun 2017 dimana status sebagai tuan rumah tidak menjanjikan kegemilangan buat mereka di pentas kriket antarabangsa. Bagi Steve Tikolo, ketua jurulatih buat pasukan yang digelar Cricket Cranes ini, persiapan rapi telah dilakukan bagi merealisasikan impian untuk kembali ke divisyen tiga.

Melihat kepada persiapan yang dilakukan Uganda, sememangnya mereka mengambil serius akan misi menebus maruah ini. Apa tidaknya, mereka telah membuat persiapan sejurus selepas kegagalan tahun lalu. Beberapa pemain berpengalaman dipanggil kembali. Uganda juga beraksi dalam perlawanan persahabatan di India.

“Bermain di pentas antarabangsa seperti ini membolehkan para pemain saya keluar dari kepompong keselesaan mereka. Beraksi dengan pasukan-pasukan yang hebat ini hanya akan mematangkan mereka. Saya percaya mereka dapat beraksi dengan konsisten di Kuala Lumpur nanti” kata Tikolo yang pernah beraksi di Piala Dunia bersama dengan Kenya.

Selain India, Uganda turut membuat aksi persahabatan dengan Qatar dalam format T20 dimana sebahagian daripada pemain dalam perlawanan tersebut turut akan beraksi di Kuala Lumpur nanti.

Uganda bagaimanapun mungkin terpaksa melupakan khidmat tonggak utama mereka, Davis Karashani yang perlu menduduki peperiksaan universitinya. Ketika ini namanya masih lagi dalam senarai pasukan namun jika Karashani tidak dapat beraksi, maka Uganda perlu mencari ketua pasukan baharu untuk kempen Liga Kriket Dunia Divisyen 4 ini.

____________________________________________

DENMARK

KETUA JURULATIH: Jeremy Bray
PENCAPAIAN 2017: Ketiga Divisyen 4 Liga Kriket Dunia
PEMAIN TUMPUAN: Aftab Ahmed, Hamed Shah

PREVIU: Kriket di Denmark mungkin tidak sepopular dengan sukan bolasepak atau badminton. Malah, kejayaan sukan Denmark lebih banyak berkisar mengenai dua sukan ini. Bagaimanapun sukan kriket dilihat semakin mendapat tempat di sana terutamanya di Copenhagen dimana ramai ibubapa menghantar anak-anak mereka bermain kriket sebagai aktiviti rekreasi.

Ketika ini skuad mereka kebanyakannya dibarisi pemain berketurunan Pakistan dan India namun Denmark tetap mempunyai beberapa pemain yang berdarah Denmark sendiri seperti Michael Pedersen. Pedersen pernah beraksi di Malaysia dalam kempen Liga Kriket Dunia divisyen 4 pada 2012. Denmark juga mempunyai 7 orang pemain yang beraksi dalam saingan kompetitif bersama kelab-kelab di England.

Sebagai persiapan, Denmark telah mengumpul 40 orang pemain untuk sesi pemilihan seawal bulan Januari. Bagi ketua jurulatih, , gabungan pemain muda dan berpengalaman pada kempen kali ini mampu membawa Denmark untuk bersaing terutamanya dengan dua pasukan yang dilihat sebagai pencabar utama – Uganda dan Malaysia.

“Pada peringkat awal, kami banyak memberi fokus terhadap tahap kecergasan dan stamina pemain. Kemudian kami membuat latihan simulasi perlawanan selain mengkaji cara permainan pihak lawan” kata jurulatih, Jeremy Bray.

Ketua pasukan, Hamed Shah pula berkata, “Kami lebih cergas dan kuat berbanding kempen-kempen terdahulu. Untuk saingan di Kuala Lumpur nanti, kami tidak boleh berikan alasan. Kami tidak boleh melakukan kesilapan-kesilapan kecil kerana ia akan menjejaskan peluang untuk kami layak ke Divisyen 3” kata Hamed.

_________________

BERMUDA

KETUA JURULATIH: Clay Smith
PENCAPAIAN 2017: Tempat keempat divisyen 4 Liga Kriket Dunia
PEMAIN TUMPUAN: Dion Stevell, Steven Bremar

PREVIU: Kriket di negara yang mempunyai penduduk seramai 63000 orang ini bermula semenjak tahun 1844 lagi. Sejak itu, sukan ini berkembang dan telah menyaksikan mereka layak ke Piala Dunia 2007 sewaktu West Indies menjadi tuan rumah.

Bagaimanapun, prestasi mereka selepas itu merosot. Dari divisyen utama, Bermuda terjerumus satu demi satu divisyen hinggalah ke divisyen 4 tahun lalu. Misi memulihkan reputasi kriket Bermuda kini dipertanggungjawabkan kepada bekas pemain mereka, Clay Smith yang bertindak selaku ketua jurulatih.

Smith telah mengumumkan senarai pasukan termasuk menyenaraikan dua pemain berpengalaman, Dion Stevell dan juga Terryn Fray. Menariknya, kedua-dua pemain ni juga merupakan pemain bolasepak. Stevell bermain untuk pasukan Paget Lions sementara Fray beraksi bersama North Village dalam saingan liga tempatan. Selain kedua-dua pemain ini, Bermuda turut mempunyai empat lagi pemain yang turut beraksi sebagai pemain bolasepak.

Perkara ini bagaimanapun tidak memberi sebarang masalah kepada Smith terutamanya dalam mempersiapkan pasukan menghadapi saingan di Kuala Lumpur nanti.

“Kami telah berbincang dengan para pemain mengenai perkara ini. Mereka akan terus bermain bolasepak bersama pasukan masing-masing namun perlu berhenti dan memberi laluan kepada kriket untuk persiapan kejohanan selepas selesai tugasan tersebut” kata Smith.

“Presiden kelab mereka sendiri juga telah memberi pandangan dan menyatakan sokongan untuk melepaskan pemain demi tugasan bersama pasukan kriket Bermuda” tambah Smith lagi.

Bermuda menjadikan kelayakan ICC T20 zon Amerika di Argentina sebagai persiapan menjelang saingan divisyen empat Liga Kriket Dunia.

_____________________________

JERSEY

KETUA JURULATIH: Neil MacRae
PENCAPAIAN 2017: Pertama Divisyen 5 Liga Kriket Dunia
PEMAIN TUMPUAN: Jonty Jenner, Nathaniel Watskins

PREVIU: Jersey merupakan sebuah jajahan takluk British yang terletak berdekatan dengan pantai Normandy, Perancis. Kepulauan kecil di Eropah ini merupakan antara enam pasukan non-test terbaik di benua tersebut.

Kejayaan menjuarai divisyen 5 tahun lalu telah memberikan semangat baharu buat pasukan bimbingan Neil MacRae ini untuk membuat kejutan di Kuala Lumpur.

Jersey mempunyai beberapa pemain hebat yang perlu diberi perhatian berdasarkan pengalaman beraksi secara profesional di England seperti Jonty Jenner yang beraksi dengan pasukan Sussex, Nathaniel Watkins (Oxfordshire) dan Jake Dunford (Durham).

Menurut MacRae yang membimbing pasukan ini menjadi juara divisyen 5 di Afrika Selatan tahun lalu, beliau percaya masa depan cerah dimiliki pasukannya ini walaupun dibarisi ramai pemain muda.

“Mereka masih muda namun mempunyai pengalaman yang besar di peringkat kelab dan negara. Kejayaan tahun lalu adalah hasil persiapan rapi bertahun-tahun.

“Kami perlu lebih bersedia kali ini. Divisyen 4 pastinya lebih sukar. Kami sudah tiga kali beraksi di divisyen 4 namun kesemua berakhir dengan penyingkiran. Kami tidak mahu mengulanginya lagi kali ini di Kuala Lumpur” tambah MacRae, bekas pemain kebangsaan Scotland.

____________________________

VANUATU

KETUA JURULATIH: Shane Deitz
PENCAPAIAN 2017: Kedua Divisyen 5 Liga Kriket Dunia
PEMAIN TUMPUAN: Andrew Mansale, Patrick Matautaava

PREVIU: Ramai pemerhati kriket melihat Vanuatu sebagai pasukan yang akan menyinar dalam kancah kriket antarabangsa terutamanya di zon pasifik. Para pemain mereka mempunyai pengalaman beraksi di Australia menerusi satu gabungan pasukan dengan pemain-pemain Papua New Guinea.

Itu antara strategi yang dirangka Shane Deitz, Pengarah Kriket Vanuatu yang juga merupakan ketua jurulatih pasukan. Deitz yang berasal dari Australia mengakui terdapat cabaran unik dalam mempersiapkan pasukannya ini.

“Tidak ramai pemain yang boleh berbahasa Inggeris. Kami juga hanya berlatih dalam format T20. Dari segi teknikal dan kelengkapan, kami jauh tertinggal berbanding pasukan lain.

“Bagaimanapun itu bukan alasan untuk saya dan para pemain menyerah kalah. Kami berlatih bersungguh-sungguh setiap hari. Malah, sokongan dari kerajaan membantu menaikkan semangat kami” kata Deitz yang pernah melatih pasukan di Neew Zealand dan Bangladesh.

Menurut Deitz, kriket berkembang dengan cukup pesat di Vanuatu. Sehingga hari ini, mereka mempunyai 20,000 penyertaan sementara 6 kelab dibawah seliaan Persatuan Kriket Vanuatu mempunyai pasukan bawah 19 dan 15 tahun.

“Pemain kebangsaan disini dianggap sebagai hero oleh kanak-kanak. Kejayaan di Kuala Lumpur hanya akan melengkapkan lagi pencapaian luar biasa Vanuatu dalam sukan kriket” tambah Deitz.


 

JADUAL ICC Liga Kriket Dunia Divisyen 4