Previu Bolasepak Lelaki Kumpulan A: Malaysia, Myanmar Tentukan Jaguh Kumpulan

Perlawanan malam ini boleh dianggap penting buat kedua-dua pasukan memandangkan hanya kemenangan yang boleh menentukan kedudukan teratas didalam kumpulan dan siapa yang bakal dihadapi di separuh akhir.
Kedua-dua pasukan sudah semestinya mahu mengelak berjumpa pasukan yang sedang di prestasi terbaik kumpulan B iaitu Vietnam dan diikuti oleh Thailand dan Indonesia.

Di atas kertas, Myanmar tampak lebih konsisten sebelum ini dengan 3 kemenangan dan Malaysia dengan 2 kemenangan. Myanmar tidak mempunyai masalah untuk menjaringkan gol apabila sudah menjaringkan 11 gol daripada 3 perlawanan sebelum ini manakala Malaysia dilihat agak bergelut untuk menemui penyudah dihadapan gol dengan 4 gol dari 2 perlawanan.

Tiada masalah kecederaan dan skuad Harimau Muda telahpun berehat selama 4 hari setakat ini,jadi Dato’ Ong Kim Swee punyai banyak pilihan pemain dalam pasukannya.

Siapa bakal mengemudi pertahanan & tengah negara?

Di kem Malaysia, Ong Kim Swee dilihat mengekalkan barisan 3 pertahanan tengahnya dalam 2 perlawanan berturut-turut dimana Adib Zainudin, Adam Nor dan Irfan Zakaria menggalas tanggungjawab itu. Faktor keserasian antara 3 pemain negara ini mungkin menjadi faktor gandingan mereka bakal dikekalkan ataupun mungkin OKS bakal memberi peluang kepada pertahanan PKNP iaitu Syazwan Zaipol membuat ‘debut’ di dalam temasya kali ini.

Posisi tengah negara menunjukkan perubahan ketara dalam perlawanan kedua menentang Singapura baru-baru apabila dilihat tidak begitu efektif ketika menyerang dan bertahan. Ia jelas ditunjukkan apabila OKS terpaksa mengeluarkan Amirulhisyam pada separuh masa dan memasukkan Azam Azih barulah skuad negara tampak seperti ‘diselamatkan’ apabila bangkit dari ketinggalan 1-0 kepada 1-2. Azam Azih menjadi watak penting pada perlawana itu dan tidak mustahil gandingannya bersama Danial Amir kembali akan digunakan malam ini.

Pemain Tumpuan

Penyerang Yadanarbon FC, Aung Thu telah merekodkan 4 gol daripada 11 perlawanan dan pemain ini sudah pasti bakal diberikan tumpuan lebih oleh pertahanan negara. Penyerang berusia 23 tahun ini mempunyai kaki kanan yang sangat prolifik dan mampu memberikan ancaman dari sepakan percuma atau bola mati.

Setelah mengalami masalah kecederaan dan kecergasan ketika perlawanan pertama menentang Brunei, N.Thanabalan masuk pada separuh masa kedua menentang Singapura dan kehadiran beliau nyata memberi ‘tonik’ buat barisan hadapan negara. Seringkali memberikan masalah buat pertahanan kiri lawan, penyerang Felcra FC ini mungkin mampu memberikan penyelesaian untuk menemui jaringan gol menerusi gandingannya bersama Safawi Rasid.

Kesimpulan

Seri sudah memadai buat skuad negara kita untuk layak ke separuh akhir dan seri juga sudah cukup untuk Myanmar kekal di atas takhta Kumpulan A. Dengan berbaki satu perlawanan lagi menentang Laos, Malaysia sudah tentu mahu mengutip mata maksimun pada perlawanan ini dan boleh memberi peluang kepada muka baru untuk perlawanan terakhir kumpulan nanti.

Foto Kredit: KL2017