Connect with:




17 Ogos 2018 | 8.00 Malam | Stadium Si Jalak Harupat

Malaysia vs Korea Selatan

Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee kini berpeluang untuk melunaskan dendam dikecewakan The Taeguk Warriors ketika suku akhir Piala AFC Januari lalu di China. Skuad negara kita tewas 2-1 ketika itu dengan N Thanabalan menjaringkan gol penyamaan minit ke-67 sebelum Han Seung-Gyu mematahkan hati rakyat Malaysia pada minit-minit akhir perlawanan.

Hari ini kedua-dua skuad yang sama bakal berdepan kembali untuk menentukan siapa yang bakal keluar dari kumpulan E. Korea Selatan telah merehatkan tonggak mereka dari Tottenham Hotspurs iaitu Son Heung-Min ketika perlawanan pertama menentang Bahrain dan ianya tidak menjadi masalah apabila mereka menang mudah dengan jaringan besar 6-0.

Tumpuan pastinya tidak terletak kepada Seung-Min sahaja namun seorang lagi yang harus diberikan perhatian adalah penyerang Gamba Osaka iaitu Hwang Ui-joo . Beliau yang merupakan seorang lagi pemain lebihan umur dalam skuad Korea dan telah menjaringkan hatrick ketika bertemu Bahrain.

Pastinya pasukan ‘Dae-Han Ming-Guk’ tidak mahu mencicirkan sebarang mata dalam misi menjadi johan kumpulan. Sebelum kejohanan telah berlangsung lagi pemain dalam pasukan ini  mempunyai matlamat tersendiri iaitu mahu menjadi juara kerana mahu mengelak military service selama dua tahun selepas pulang ke Korea.

Di kem pasukan kebangsaan pula, kelibat trio Syafiq-Akhyar-Safawi (SAS) pula menjadi sebutan dikalangan pemerhati bola sepak negara selepas menjaringkan 3 gol dalam perlawananan pertama. Ketiga-ketiga pemain ini tampak efisyen ketika mempunyai bola dikaki dengan percubaan-percubaan dan larian-larian berbahaya sepanjang perlawanan.

Sandaran untuk bahagian tengah pula pastinya sekali lagi akan digalas oleh ketua pasukan negara iaitu Baddrol Bakhtiar dan pemain muda Kelantan iaitu Nik Akif. Kedua-dua pemain ini tenang mengawal jentera tengah dengan bertukar hantaran pendek dan hantaran jauh ke kanan dan kiri padang ketika menetang Krygzstan.

Berita baik diterima apabila Dominic Tan telah mengesahkan dilaman Twitter beliau dimana bebas dari kecederaan dan bersedia untuk perlawanan petang ini. Pemain JDT II itu dikeluarkan pada separuh masa kedua akibat kecederaan ketika perlawanan pertama tempoh hari.

Yang pasti, pasukan muda negara mahu mencuri sekurang-kurangnya satu mata bagi mengurangkan tekanan untuk keluar daripada peringkat kumpulan. Bagi Korea pula, mereka bakal turun dengan kekuatan penuh petang ini setelah mengambil langkah waspada ketika bertemu Bahrain setelah merehatkan tonggak mereka, Son Heung-Min.

Ayuh Harimauku, rentap sahaja Pahlawan Taeguk!