Hairul Azuan, pengurus pasukan Apido Yamaha Boon Kui

 

Pengurus pasukan Apido Yamaha Boon Kui Racing, Hairul Azuan Abd Rahman percaya pasukannya telah menunjukkan peningkatan ketara dalam saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2012 berbanding apa yang diraih sepanjang musim 2011.

Hairul menyuarakan pandangannya itu menjelang berlangsungnya Pusingan 7 di Litar Kluang, Johor pada 22 dan 23 September ini setelah menyaksikan pelumbanya, Ahmad Abdul Kadir kini berada di tangga kedua dalam senarai pelumba keseluruhan kategori CP115 dengan pungutan 84 mata, jauh berbeza dengan pencapaian di tangga ke-11 secara keseluruhan tahun lalu.

Selepas berlangsungnya enam pusingan setakat ini, Ahmad sekadar ketinggalan tujuh mata kepada pendahulu, Shahril Izzuwan Mohd Noor dari pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM manakala Mohd Amirul Ariff Musa (Pachie Yuzy Honda Racing) di kedudukan ketiga dengan 82 mata.

“Kami banyak belajar daripada kesilapan yang dilakukan pada musim 2011. Seluruh pasukan juga telah bekerja keras bagi meningkatkan keupayaan jentera di mana pada ketika ini kemampuan kami setara dengan pasukan-pasukan lain. Situasi ini jauh berbeza berbanding musim lepas di mana kami diselubungi masalah teknikal. Tidak kira bagaimana usaha yang kami lakukan, kami tetap ketinggalan di belakang pasukan lain,” kata Hairul.

Ahmad Abdul Kadir (77) hanya ketinggalan 7 mata di belakang pendahulu

 

Tambahnya, “Namun, itu semua tidak melemahkan kami, malah jauh sekali daripada untuk berputus asa. Sebaik musim 2011 tamat, kami melakukan analisa dan mencari kelemahan pada jentera kami. Kami  membandingkan keupayaannya dengan jentera pasukan lawan dan kemudian mencari jalan penyelesaian. Usaha tersebut membuahkan hasil apabila Ahmad berjaya memenangi tempat ketiga sebaik musim 2012 membuka tirai di Batu Kawan. Ia dituruti dengan dua gelaran naib juara pada Pusingan 3 di Kangar dan Pusingan 5 di Teluk Intan.”

Bercakap tentang harapannya pada perlumbaan minggu ini, Hairul menjelaskan, “Sukar untuk meramalkan siapa yang akan menguasai litar Kluang namun saya percaya Ahmad berupaya untuk berada di barisan hadapan. Dia bekerja keras bagi mengekalkan kecergasannya sepanjang tempoh rehat Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri manakala barisan krew pasukan juga telah menyediakan jentera yang cukup kompetitif. Kami hanya memerlukan perubahan kecil bergantung kepada sesi latihan sebaik tiba di litar nanti. Sudah pasti saya mengharapkan Ahmad akan naik ke podium lagi dan mampu memberikan saingan untuk merebut mahkota kejuaraan pada musim ini.”