Connect with:




Semalam telah berlangsungnya majlis perasmian bangunan baru Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang memberikan keluasan tambahan 200,000 kaki persegi kepada ibu pejabat badan itu, ‘AFC House’ di Bukit Jalil.

Majlis perasmian itu disempurnakan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa dalam satu majlis yang turut dihadiri anggota Jawatankuasa Eksekutif AFC serta Presiden dan Setiausaha Agung dari seluruh 57 ahli Persatuan di bawahnya (MA).

Berlandaskan Visi dan Misi untuk memberikan perkhidmatan sokongan dengan serta kecekapan lebih baik kepada MA di bawahnya, bangunan yang dibina atas biaya dana ‘Forward FIFA’, diharap dapat melaksanakan harapan AFC.

Menurut Shaikh Salman, bangunan baru yang beroperasi sejak November 2017 itu dilengkapi hub moden dan dinamik untuk pembangunan bola sepak telah memberi nafas baru dalam penyampaian banyak program AFC untuk MAnya.

“Pelaburan pembinaan baru ini menggariskan komitmen kami dalam menyempurnakan objektif tersebut. Saya mewakili warga bola sepak Asia merasakan perlu untuk kami menyampaikan penghargaan kepada FIFA yang telah bermurah hati serta tidak dilupakan Kerajaan Malaysia atas kerjasama yang diberikan demi pembangunan bola sepak Asia selama beberapa dekad.

“Dengan memupuk perkembangan belia, pembangunan akar umbi dan bola sepak wanita diikuti pembangunan jurulatih berkualiti serta pegawai berkemahiran, saya yakin AFC House yang baru dan bertambah baik, pasti ianya akan membantu MA kami mencapai tahap kecemerlangan baru,” katanya dalam satu kenyataan.

Bangunan baru itu dilengkapi sebuah padang tiruan, gimnasium, kolam pemulihan, bilik persalinan, lima bilik mesyuarat serta sebuah auditorium 182 tempat duduk yang pernah menjadi tempat untuk pelbagai persidangan, seminar serta bengkel dan undian pertandingan AFC yang disiarkan keseluruh dunia secara langsung turut berlangsung di sini.

Selain itu, bangunan tersebut turut dilengkapi ruang istirehat khas dan bilik mesyuarat jawatankuasa eksekutif AFC yang baru.  Ianya juga dilengkapi tempat letak bawah tanah bagi kakitangan serta pelawat selain turut disediakan cafeteria baru.

Pada masa yang sama, Infantino berpendapat bangunan moden serta baru itu adalah selaras dengan matlamat AFC yang mahu tampil sebagai sebuah organisasi moden dan progresif dalam menumpukan pembangunan masa hadapan.

“Saya gembira kerana menjadi bahagian dari sejarah untuk berada dalam majlis perasmian bangunan baru ‘AFC House’ ini. Kali pertama saya melakukan lawatan dibangunan asal dulu pun saya sudah kagum apatah lagi hari ini (semalam).

“Satu kebanggaan untuk berdiri di sini dan melihat bola sepak Asia dan global bergerak secara seiring, ini satu perkembangan positif buat sukan bola sepak,” jelasnya.

Foto : Facebook AFC

Sumber : The AFC