Tindakan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) yang mengumumkan pemotongan mata terhadap pasukan Kelantan, T-Team, Perlis dan ATM yang gagal melunaskan gaji, caruman KWSP, pembayaran SOCSO atau cukai pendapatan kepada LHDN, PFAM disambut dengan pelbagai reaksi.

Bagi Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), mereka menyambut baik dan sememangnya memberikan sokongan penuh terhadap tindakan tersebut.

“Isu tunggakan gaji adalah merupakan isu yang sering berlaku dalam kancah bolasepak tempatan.

“PFAM percaya, menerusi tindakan potongan mata dan “transfer ban”, ini adalah mesej yang jelas daripada pihak FAM dan FMLLP, betapa kegagalan pasukan dalam menguruskan gaji pemain adalah merupakan kesalahan yang serius dan berat” memetik kenyataan presiden PFAM, Hairuddin Omar.

“PFAM berharap agar hukuman ini menjadi pengajaran terhadap pasukan yang dikenakan tindakan dan juga menjadi peringatan kepada pasukan-pasukan lain. Pada masa yang sama, PFAM turut menggesa agar pasukan yang dikenakan hukuman ini untuk segera menyelesaikan tunggakan gaji tersebut. Hal ini bagi memastikan intergriti industri bolasepak tempatan terpelihara menerusi kebajikan para pemain yang tidak diabaikan.

PFAM juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden FAM, Tunku Ismail, yang telah mengambil tindakan dengan segera terhadap isu tunggakan gaji ini.

“Semoga perubahan positif ini dapat memastikan nilai profesionalisme diangkat pada tahap yang selayaknya” tambah Hairuddin lagi.

Bagaiamanapun tindakan FMLLP ini mengundang ketidakpuashatian penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Bagi Annuar, beliau menganggap tindakan pemotongan mata itu zalim dan tidak adil terhadap pasukan-pasukan miskin.

“Sewaktu saya ambil alih Kafa 10 tahun dulu, Kafa menanggung hutang berjuta-juta ringgit dan terdapat beberapa kes dengan Fifa hatta kes di mahkamah berpunca tuntutan hutang sejak 1980-an.

“Tetapi FAM  zaman itu memberi peluang kepada pasukan mengurus hutang mengikut keupayaan masing-masing” memetik kenyataan beliau di facebook.

FMLLP kemudiannya membidas kenyataan Annuar;

“Kita sudah terlalu lama terkenal dengan kes di FIFA berkaitan dengan gaji pemain dan ini mesti dihentikan. Jangan kita membuat alasan, atau meraih simpati dan mula melihat diri serta tindakan kita sendiri kerana hanya diri kita sendiri yang harus dipersalahkan”.