Powerlifting merupakan satu sukan yang menggabungkan tiga disiplin senaman berat (weight training) iaitu benchpress, squat dan deadlift.

Mungkin ramai juga yang menganggap powerlifiting hanya dipertandingkan di acara paralimpik. Sebenarnya, powerlifiting adalah sukan kompetetif untuk atlet normal. Perbezaan ketara dengan powerlifting atlet normal adalah acara dalam pralimpik yang hanya mempunyai satu disiplin sahaja iaitu bench press.

Powerlifting kini semakin diikuti ramai di seluruh dunia. Sukan ini dipertandingkan di World Games iaitu temasya sukan untuk acara-acara yang tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik. Malah, ia juga kini mendapat liputan dalam media youtube Olimpik.

Di Malaysia, badan yang mentadbir sukan ini adalah Persatuan Powerlifting Malaysia (MAP) yang baru sahaja ditubuhkan pada bulan Mei tahun lalu.

“Penubuhan MAP ini bertujuan bagi membentuk satu badan sukan negara untuk powerlifting yang seterusnya akan memudahkan program-program powerlifitng diadakan di Malaysia. Selain itu, dengan adanya MAP, kita dapat menghantar wakil negara ke kejohanan-kejohanan antarabangsa yang mana sebelum ini, kita tak dapat melakukannya. Itu satu kerugian” jelas Dayalan Devan, Presiden MAP.

Tahun lalu, mereka telah menghantar penyertaan ke Kejohanan Powerlifting Asia yang diadakan di India. Berbekalkan wang dari simpanan sendiri, penyertaan tersebut ternyata berbaloi dengan kontinjen negara berjaya membawa pulang 1 pingat emas, 5 perak dan 5 gangsa.

“Kami memang berhasrat untuk hantar kontinjen lebih besar tetapi atas faktor kewangan dan masa dimana kami mendapat jemputan pada saat akhir, kami hanya mampu menghantar 4 orang atlet sahaja” kata Gee Li Cong, Naib Presiden MAP yang juga salah seorang pemenang medal di kejohanan tersebut.

 

MAP turut akan menganjurkan kejohanan peringkat kebangsaan pada bulan Mac ini sebagai medan pemilihan wakil negara.

“Setakat ini, kita telah menerima penyertaan 55 atlet termasuk beberapa atlet dari negara jemputan seperti Indonesia, Brunei dan juga United Kingdom.

“Dari kejohanan ini, kita akan pilih atlet terbaik untuk bertanding di Kejohanan Dunia yang akan dilangsungkan di Kanada pada June dan juga Kejuaraan Powrlifting Asia 2018 di Manila, Filipina pada Disember nanti” kata Dayalan.

 

Untuk membaca artikel penuh mengenai Powerlifting Malaysia, dapatkan majalah Dunia Sukan edisi 61 (Februari 2018) di kedai-kedai buku berdekatan atau secara online di https://duniasukan.com/shop/.