Universiti Malaya (UM) mempertahankan kejuaraan dalam acara berpasukan apabila menewaskan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) 2-0 dalam aksi final Kejohanan Ping Pong Institusi Pengajian Tinggi (IPT) & Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Piala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi 2012 di Kompleks Sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, semalam.

Lau Xiu Qiang dan Ang Shaw Bing menyumbang mata kemenangan buat UM apabila menewaskan lawan masing-masing dalam aksi final kejohanan yang masuk edisi ketiga tersebut. Dengan kemenangan ini UM membawa pulang wang tunai RM2,500, piala pusingan, piala iringan, medal dan sijil penyertaan.

Poon Soon Cheong dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengotakan janjinya apabila memenangi kategori perseorangan lelaki sementara untuk kategori perseorangan wanita pula dimenangi peserta dari Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Shah Alam 1, Liew Yong Xuan. Mereka berdua masing-masing menerima RM700 beserta medal.

“Saya gembira atas kemenangan ini setelah tiga kali mencuba,” luahan kegembiraan Soon Cheong setelah menewaskan lawannya Mattius Anak Aloysious dari UiTM Shah Alam 4-2.

Menurut Soon Cheong, dia memiliki kelebihan smash yang menjadi disamping sudah lama mengenali dan biasa menentang lawannya itu sebelum ini. Dalam percubaan pertamanya, dia sekadar meraih naib johan sebelum mendapat tempat ketiga dalam edisi tahun lalu.

Sementara itu, gandingan dari UiTM Shah Alam, Muhd Zulkaire Zaukipli-Mohd Suhaidin Azhar Bidin meraih kejuaraan untuk kategori beregu lelaki dan Low Pei Yen-Yeong Ming Yue dari Kolej Universiti Nilai pula memenangi kategori beregu wanita. Johan kedua-dua kategori ini masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta  medal.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu membabitkan penyertaan 500 peserta daripada 51 pasukan daripada IPTA/IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh negara.

Keputusan Final Kejohanan Ping Pong IPT & KPT Piala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi 2012:

Perseorangan Lelaki: Poon Soon Cheong (UKM) menang Mattius Anak Aloysious (UiTM Shah Alam) 11-7, 8-11, 11-7, 9-11, 11-7, 11-6

Perseorangan Wanita: Liew Yong Xuan (UiTM Shah Alam 1) menang Chen Lian Fang (Kolej INTI) 11-7, 11-5, 11-6, 11-9

Beregu Lelaki: Muhd Zulkaire Zaukipli-Mohd Suhaidin Azhar Bidin (UiTM Shah Alam) menang Mah Yik Hoay-Mohd Norhadzwan Ruzman (UM) 11-7, 11-6, 11-5

Beregu Wanita: Low Pei Yen-Yeong Ming Yue (Kolej Universiti Nilai) menang Teng Wei Ni-Chooi Wei San (UTAR Perak) 11-3, 11-4, 7-11, 11-4

Berpasukan: Universiti Malaya menang Kolej Tunku Abdul Rahman 2-0