Connect with:




Sudah reda peristiwa kekecohan yang tercetus ketika pertembungannya dengan Khabib tahun lalu, kini bintang UFC, Conor McGregor sekali lagi didakwa apabila terlibat dalam kes rompakan dan kerosakan awam, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku di Miami, polis mendapati McGregor merampas telefon bimbit milik seorang lelaki berusia 22 tahun yang cuba mengambil fotonya secara sembunyi ketika dia sedang meninggalkan pantai di situ.

Difahamkan, selepas McGregor mengambil telefon, dia kemudiannya mengetuk telefon itu sehingga rosak dan pecah serta menyembunyikannya dalam sebuah rumah berdekatan dengan kawasan pantai.

“Mangsa cuba mengambil gambar dengan telefon bimbitnya. Defendan merampas telefon bimbit dari tangannya, menyebabkan ia jatuh ke lantai,” kata laporan polis.

“Kemudian defendan menyepak beberapa kali telefon mangsa, merosakkannya, kemudian mengambil telefon berkenaan dan melarikan diri.”

Samuel Rabin selaku peguamnya memberitahu pertengkaran kecil telah berlaku di antara anak guamnya sehingga melibatkan kekecohan di tempat kejadian.

“McGregor menghargai respons penguatkuasaan undang-undang dan menjanjikan kerjasama penuh akan diberikan dalam kes ini,” katanya.

Hasil siasatan, Mc Gregor telah ditahan dan diikat jamin dengan nilai sebanyak $12500.

Untuk makluman, dia kini masih berada dalam pergantungan dari terlibat dalam sebarang kejohanan UFC berikutan kesalahannya mencetuskan ketegangan dengan  Khabib Nurmagomedov selepas kalah dalam pertarungan UFC Oktober lalu.

Foto: Reuters