Walaupun berjaya menamatkan kemarau podium yang dialami pada Pusingan 6 di Muar, Johor baru-baru ini, pelumba CP130 Mohd Zamri Baba masih belum cukup yakin ia mampu mengubah nasibnya dalam saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim ini.

Sebaliknya, Zamri yang muncul di tempat ketiga di Stadium Sultan Ibrahim awal bulan ini berpendapat keputusannya sepatutnya lebih baik memandangkan pasukan PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline mempunyai daya saing yang tinggi berbanding lima pusingan awal di mana keputusan terbaiknya adalah pada Pusingan 3 (Kangar) apabila dia menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

“Bagi saya keputusan di Muar sepatutnya lebih baik, kemungkinan di tempat pertama atau kedua kerana kami mempunyai kelebihan pole dan jentera kami juga amat kompetitif atas hasil usaha para mekanik pasukan. Malang sekali saya melakukan kesilapan pada peringkat permulaan dan ini memberi peluang kepada Ahmad Fazrul Sham dan Azlan Shah Kamaruzaman mendahului perlumbaan. Hanya¬†pada lap kelima saya berjaya merapatkan jurang dengan Azlan tetapi tidak menemui peluang untuk memintas. Walaupun begitu, saya tetap gembira dapat menaiki podium di sini (Muar),” jelas pelumba berusia 29 tahun itu.

Dengan kutipan 49 mata, Zamri kini menduduki tangga kelapan dalam carta keseluruhan CP130 manakala Azlan Shah (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) mendahului dengan 100 mata. Fazrul Sham (Faito Motobert Racing) pula berada di tangga kedua dengan 82 mata diikuti Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzy Honda Racing) ketiga dengan catatan 81 mata.

Walaupun berpuas hati dapat mengakhiri kemarau podiumnya, Zamri menafikan ia merupakan titik kebangkitannya kerana dia percaya masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Podium di Muar merupakan satu bonus buat saya dan pasukan selepas bergelut dengan pelbagai isu pada lima pusingan awal dan masih terlalu awal untuk menyatakan kejayaan di Muar sebagai titik kebangkitan kerana mungkin faktor nasib memainkan peranan besar di sini. Sebaliknya, saya hanya akan beranggapan sebegitu apabila menamatkan saingan akan datang di atas podium. Oleh itu, saya perlu menggunakan waktu rehat panjang Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri ini untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada dan tampil lebih konsisten untuk mencabar pelumba-pelumba lain,” jelas Zamri.

Pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan berlangsung di Kluang, Johor pada 22 hingga 23 September ini.