Poad ‘Runsing’ Pilih Pelari Pertama

Jurulatih pecut skuad olahraga negara, Mohd. Poad Kassim masih runsing untuk melakukan pemilihan pelari pertama dalam kuartet 4×100 meter (m) lelaki negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) minggu depan.

Menurutnya, dia belum dapat memutuskan sama ada Nixson Kennedy atau Muhammad Haiqal Hanafi sebagai pelari pertama bergandingan dengan Jonathan Nye­pa (pelari kedua), Badrul Hisyam Abdul Manap (pelari ketiga) dan Khairul Hafiz Jantan (pelari keempat).

Ketika ini, mereka berdua menunjukkan prestasi baik dari segi permulaan larian termasuk pemberian baton dalam setiap sesi latihan.

Walau catatan masa mereka hampir sama, Nixson dilihat memiliki peluang lebih cerah berbanding Haiqal memandangkan atlet dari Kuching, Sarawak itu memiliki pengalaman beraksi dalam acara 100m dan 4x100m pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

“Sebenarnya, banyak faktor yang saya akan fikirka dan dari segi pengalaman berlari pada Sukan SEA sebelum ini. Nixson memang ada pengalaman tetapi Haiqal pula baru pertama kali dalam temasya ini,”ujarnya.

Tambahnya, dia akan mencuba lagi ujian masa dan akan membuat keputusan untuk memilih pelari pertama yang terbaik.

Acara olahraga dengan kemasukan percuma akan membuka saingannya di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 19 hingga 26 Ogos ini.

Foto Kredit: Sports247.my