Connect with:




Liga Bola sepak Malaysia (MFL) dengan usaha sama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil alternatif yang lebih efisyen apabila badan induk itu bakal menubuhkan Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM) yang akan melahirkan pengadil professional sepenuh masa pertama bermula Julai ini.

Malah, mereka juga bakal mengadaptasi peraturan kawalan ekonomi La Liga untuk menangani isu kewangan persatuan yang akan berkuat kuasa tahun hadapan.

Mengulas lanjut tentang PMOM, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menjelaskan MFL sudah mendaftarkan PMOM dan ianya kini dalam proses melantik barisan kepimpinan tertinggi terutama bagi jawatan pengurus besar.

PMOM yang merupakan badan penswastaan pengadil akan menggunakan modul Pegawai Perlawanan Profesional Terhad (PGMOL) iaitu badan pengadil bebas EPL di England sebagai acuan bagi melengkapkan sistem pengadilan yang proaktif selain melahirkan pengadil tempatan yang bermutu tinggi menjelang 2020.

Perbincangan itu mencapai kata sepakat selepas MFL bersama FAM me­ngadakan pertemuan dengan PGMOL di London semalam.

“Modul yang dimaksudkan adalah pembangunan akar umbi, proses pelantikan pengadil, selok-belok badan bebas pengadil beroperasi dan sebagainya.

“Mungkin kita tidak lihat kepada kelengkapan dan keperluan yang diperlukan untuk menyokong penukaran taraf pemain itu dari amatur atau separuh profesional kepada perofesional. Jadi pada pada hari ini ada yang mempertikaikan adakah liga kita profesional sepenuhnya dan sebagainya.

“Kami perlu membuat penilaian dengan lebih teliti dan akan menilai pengadil dalam Liga M.

“Mereka yang layak sahaja akan ditawar kontrak untuk bergelar pengadil sepenuh nasa bermula Julai ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam dalam sidang ­akhbar menerusi video yang berlintas langsung dari London, semalam.

Baginya, modul berkenaan bakal menjadi penanda aras yang lebih kompeten selain menjadi platform terbaik untuk melahirkan ramai pengadil tempatan yang berkualiti.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM Datuk Yusoff Mahadi menegaskan FAM akan meneliti segala kriteria yang perlu diperhalusi dalam memilih individu yang layak untuk memegang tampok kepimpinan PMOM.

“Kita nak pastikan individu yang dipilih itu memiliki kredibiliti tinggi kerana ini projek pertama dan kita tak mahu gagal. Selepas calon yang dipilih disahkan dalam Lembaga Penagrah MFL nanti, barulah PMOM boleh digerakkan dengan pantas,” katanya.

Foto: Malaysian Football League