KUALA TERENGGANU, 7 Nov – Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) akan menghantar 25 pelumba pelapis ke kejohanan Sports Excel Sirkit ke-3 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Disember nanti.

Ketua jurulatih PLBT Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata kejohanan itu akan dijadikan medan menguji pelumba berkenaan, selain memberi pendedahan kepada mereka untuk menyertai kejohanan lebih berprestij.

“Rata-rata pelapis yang akan dihantar nanti baru berusia 14 dan 15 tahun dan mereka telah bersama sesi latihan bersama PLBT hampir setahun.

“Jadi, inilah masa terbaik untuk kita mengukur kebolehan mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.  Beliau berkata sebahagian daripada pelumba berkenaan telah dihantar menyertai beberapa kejohanan seperti Terbuka Perlis dan Kejohanan Lumba Basikal GP Kebangsaan Sirkit 3 Sarawak sebelum ini.

Menurutnya, prestasi pelumba muda terbabit membanggakan kerana walaupun baru berusia 14 tahun, mereka mampu memberi saingan kepada pelumba yang ternama dan mempunyai lebih pengalaman.

“Sebelum ini, mereka terpaksa bersaing dengan pelumba yang berumur 18 tahun namun pada kejohanan kali ini mereka akan bersaing di bawah kategori 16 tahun.

“Biarpun bersaing dengan usia lebih jauh namun mereka lebih berpengalaman dan mampu menunjukkan aksi yang konsisten serta menunjukkan aksi yang membanggakan,” katanya.

Beliau berkata antara bakat pelapis yang semakin menyerlah ialah Abd Aziz Zahid, Iskandar Fitri Ahmad Sabti, Ahmad Najib Ismail dan Mohd Shahrul Arfan Rosdi.  Setakat ini mereka berjaya memikul tangungjawab yang diberi dan membuktikan had umur bukanlah ukuran kepada mereka untuk bersaing, katanya.  –BERNAMA