Nazmi Faiz Bersalaman Dengan Presiden PKNS FC

Nazmi Faiz Bersalaman Dengan Presiden PKNS FC

 

Kepulangan Nazmi Faiz dari Portugal untuk beraksi di Malaysia sememangnya menjadi bualan mulut peminat bolasepak tempatan. Ramai yang mengkritik tindakan pemain muda ini yang dilihat sebagai satu langkah ke belakang untuk kariernya. Nazmi juga lebih banyak berdiam diri dari meluahkan faktor sebenar dirinya menamatkan kontrak bersama SC Beira-Mar.

Namun, tidak ramai mengetahui hal sebenar mengenai kesengsaraan Nazmi dalam meneruskan kehidupan di Portugal. Krisis kewangan yang dihadapi kelab Portugal itu menyaksikan gajinya sebanyak 2500 Euro sebulan dipotong hingga akhirnya tinggal 500 Euro sebulan.

Sumber rapat memberitahu, keadaan ini seterusnya mengakibatkan Nazmi sendiri mempunyai masalah untuk mendapatkan makanan hingga terpaksa makan maggi untuk mengalas perut. Dengan sumber kewangan yang terhad ini, Nazmi juga bermasalah dalam membayar sewa rumahnya sehingga akhirnya terpaksa merempat di rumah kawan.

Boleh dikatakan, kebajikan Nazmi disana terabai dan harus diingat, usia Nazmi masih terlalu muda berbanding beberapa pemain negara yang berkelana di Eropah sebelum ini. Kakak beliau yang menemani beliau pula hanya bertahan 3 bulan sebelum dihantar pulang ke Malaysia.

Kesusahan Nazmi ini telah dirujuk ibu bapa beliau kepada beberapa pihak yang berkenaan namun tiada tindakan yang diambil namun Nazmi tetap bertahan hampir enam bulan lamanya bagi merealisasikan impian dan harapan seluruh rakyat Malaysia.

Diberitakan lagi ketika cuti Krismas lalu dimana Nazmi dibenarkan bercuti, kebetulan seorang individu yang rapat dengan Nazmi sendiri iaitu datuknya telah meninggal dunia tetapi Nazmi tidak dibenarkan pulang ke Kuala Lumpur oleh Beira Mar pada waktu itu walaupun sudah mempunyai tiket penerbangan pulang.

Selepas episod sedih ini berlaku, Nazmi diminta pula untuk menandatangani satu kontrak baru dalam bahasa Portugal yang mana meragukan beliau. Selain itu Nazmi mahu dijual Beira Mar ke kelab Divisyen 4 Jerman. Setelah berbincang dengan ejen dan keluarga, pemain muda ini memilih pulang ke Malaysia buat masa ini untuk mengelakkan perkara yang lebih buruk berlaku.

Situasi ini akhirnya diselamatkan PKNS FC yang menerima tawaran dari ejen Nazmi, Marco Guimaraes untuk membawa pulang Nazmi ke Malaysia dengan membayar wang perpindahan kepada Beira Mar.

 

Nazmi Tidak Akan Kembali ke Portugal

Nazmi Tidak Akan Kembali ke Portugal

 

Kepulangan Nazmi diatur secara senyap-senyap bagi mengelak disambar pasukan lain tetapi dapat dihidu beberapa media seterusnya menjadi bualan di laman sosial dan mencetuskan spekulasi bahawa kepulangan ini ada kaitan dengan kisah percintaan dengan Tengku Fiella.

Dalam sidang media bersama PKNS FC, Nazmi menegaskan tidak akan kembali ke bumi Portugal tetapi masih membuka peluang bermain di negara lain mungkin mengesahkan lagi kesengsaraan beliau di sana.

Setelah menandatangani kontrak dengan PKNS, masih ada yang berkata mengapa Nazmi tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Beira-Mar?

Percayalah, kedatangan Nazmi ke Eropah bukan sekadar bakat sahaja tetapi diiringi dengan faktor komersil.

Perkara ini akan menjadi lebih rumit jika dipanjangkan dan bakal menutup peluang pemain muda lain untuk berkelana ke Eropah.

Yang penting, PKNS FC telah menyelamatkan karier bintang muda harapan Malaysia dan peminat pastinya mengharapkan kelab berpengkalan di Kelana Jaya ini tidak mempersiakan-sia kan masa depan Nazmi Faiz.