Selangor PKNS FC meraih kejuaraan berganda dalam aksi final Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2011-2012 yang berlangsung di Stadium Putra, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil petang tadi. Pasukan lelaki dan wanita PKNS FC mempamerkan aksi mantap untuk menundukkan lawan masing-masing.

Acara wanita yang berlangsung terlebih dahulu menyaksikan hajat Selangor untuk meraih kejuaraan hatrik selepas muncul juara dua tahun berturut-turut sebelum ini, tersekat apabila terpaksa tunduk 0-1 kepada PKNS FC hasil jaringan Anis Farhana pada minit ke-10.

Selangor selaku juara bertahan dilihat beraksi dibawah tahap sebenar apabila kerap kali diasak pemain-pemain PKNS FC yang mendominasi perlawanan di babak pertama. Tiada percubaan berbahaya yang terhasil melalui gerakan Selangor sementara PKNS FC pula tampil dengan aksi yang lebih meyakinkan.

Walaupun cuba bangkit di babak kedua menerusi asakan bertali arus ke kubu PKNS FC, Selangor tetap gagal mencari gol dan kerap dikecewakan dengan aksi kental PKNS FC mempertahankan kubu mereka dari dibocori lawan.

Sementara untuk acara lelaki, PKNS FC meneruskan dominasi mereka apabila muncul johan dengan menundukkan MPSJ FC dengan keputusan 7-2. Bermula agak hambar buat kedua-dua pasukan menyaksikan gol cuma terhasil di penghujung babak pertama apabila PKNS menjaringkan dua gol pada minit ke-19 dan 20.

PKNS FC semakin mengganas di babak kedua apabila menambah jaringan pada minit ke-23, 24 dan 26 untuk terus medahului perlawanan. MPSJ FC yang kelihatan cuba bangkit memperolehi jaringan pertama mereka pada minit ke-27, sebelum PKNS menambah lagi jurang jaringan dengan dua lagi gol masing-masing pada minit ke-30 dan 38 menerusi jaringan Khairul Effandy Bahrin dan Muizuddin Mohd Haris.

Selaku johan, PKNS FC membawa pulang wang tunai RM40,000 beserta trofi kejohanan, beserta wang tunai RM 10,000 selaku johan Kumpulan A dalam pusingan awal sebelum ini. Jumlah ganjaran yang sama turut dibawa pulang pasukan wanita mereka sementara selaku naib johan, MPSJ FC (lelaki) dan Selangor (wanita) memperolehi wang tunai RM20,000 masing-masing.

Pemain terbaik perlawanan akhir juga didominasi oleh PKNS FC apabila Muizuddin Mohd Haris dan Anis Farhana terpilih.