Skuad berstatus kelab, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) hilang khidmat Mohd. Safee Sali ketika beraksi menentang Melaka United dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam kelmarin.

Safee yang merupakan pemain posisi penyerang mengalami keretakan tulang selangka (collar bone) dan terpaksa berehat selama dua bulan.

Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, kecederaan Safee sedikit sebanyak menjejaskan moral skuad PKNS FC yang bakal menentang Perak pada Piala Malaysia tidak lama lagi.

Tambahnya, dia yakin dengan jurulatih, E. Elavarasan yang akan berusaha menukar taktikal dan mencari pengganti untuk mengisi kekosongan posisi.

“Apabila aksi memasuki bulan Julai, kita terpaksa berdepan dengan jadual yang padat yang mana risiko kecederaan atau layangan kad mungkin berlaku,” Katanya.

Selain Safee, P Gunalan juga dimasukkan ke hospital sejak Khamis lalu akibat mengalami apendiks. Walau bagaimanapun Gunalan dilaporkan telah dibenarkan keluar dari hospital.

Selain itu, Safee telah menyelamatkan maruah skuad Red Ants daripada kekalahan apabila berjaya menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti untuk mengikat Melaka United 1-1 sehingga tamat perlawanan.