“Pihak pengurusan telah meletakkan sasaran untuk berada di dalam enam pasukan terbaik Liga Super,” ujar ringkas ketua jurulatih PKNS FC, Abdul Rahman Ibrahim pada Majlis Suai Kenal dan Menandatangani Kontrak Pemain Liga Super di Menara HPAIC, Seksyen 13, Shah Alam petang semalam.

Beliau turut menambah,”Setiap pasukan mempunyai sasaran mereka yang tersendiri. Ada yang sasarkan satu piala, ada yang dua piala. Tetapi ini semua hanyalah sasaran. Jadi, kita perlu ukur baju di badan sendiri dan sasaran enam kelompok yang terbaik merupakan sasaran yang realistik.”

Sementara itu, ketua pasukan PKNS FC, Fadhil Mohd Hashim menganggap musim kali ini akan lebih mencabar dan beliau yakin pasukannya mampu memberikan saingan yang hebat kepada pasukan yang lain.

Beliau dipetik berkata,”Dengan kemasukan pemain import seperti Nicoise dan Loussaief, kami yakin pasukan kami mampu memberikan cabaran yang baik kepada pasukan lain. Saya harap pasukan PKNS FC mampu menewaskan pasukan-pasukan besar seperti Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Selangor.”

Pemain tempatan seperti Helmi Remeli(Terengganu) dan Rudie Ramli(Selangor) merupakan antara 10 pemain tempatan yang telah mengikat kontrak bersama PKNS FC selain daripada 10 lagi pemain musim lepas yang dikekalkan, serta pemain import Nicoise Joseph dan Helmi Lossaief yang kedua-keduanya kali terakhir beraksi di Perancis.

PKNS FC juga telah dinobatkan sebagai Kelab Bola Sepak Terbaik pada Majlis Anugerah Bola Sepak 100 Plus 2011. Bagi tahun 2012, PKNS FC telah menyediakan bajet sebanyak RM7 juta untuk pengurusan pasukan Liga Super manakala pasukan Piala Presiden serta program pembangunan akan menerima suntikan dana sebanyak RM2 juta.

Menjelang musim yang baru ini, PKNS FC telah menjalani latihan pra-musim di Vietnam, setelah berjaya menjuarai saingan Liga Premier 2011 yang berkesudahan dengan 18 kemenangan, 3 seri, dan satu kekalahan daripada 22 perlawanan liga. Sementara itu, pengeluar jenama sukan tersohor, Lotto akan menjadi penaja rasmi pakaian untuk PKNS FC.

Pemain-pemain pasukan PKNS FC bagi musim 2012 ialah :

Mohd Fadhil Hashim(ketua pasukan), Fauzan Dzulkifli, Razi Effendi Suhit, P. Rajesh, Azrif Nasrulhaq, Khairul Akhyar Husain, Zulharis Mohd Nor, Khairu Azrin Khazali, Norhafizzuan Jailani, Asyidi Dil Ashar Yusof, Mohamad Idris Ahmad, Nazrin Syamsul Bahri, Rudie Ramli, Ahmad Azlan Zainal, Azwan Abdul Malek, Remezey Che Ros, Hafidz Romly, Helmi Remeli, Fahrul Nizwan Abd Nasir, Fazli Baharudin, Farouk Hashim, Faizal Nasir, Nicoise Mickael Joseph, Helmi Loussaief, Shahril Zakaria