Ketua pasukan, Helmi Remeli mengetuai majlis menandatangi kontrak pemain sambil disaksikan Presiden PKNS FC, Noor Hisham Mohd Gouth serta Pengurus Besar PKNS, Othman Omar

 

Tanggungjawab besar bakal digalas barisan pemain dan pegawai PKNS selepas pihak pengurusan menetapkan kedudukan 5 terbaik liga dan sekurang-kurangnya satu piala untuk musim 2013 ini.

Bagi Presiden PKNS, Noor Hisham Mohd Ghouth, sasaran itu dilihat realistik memandangkan pasukan ‘Semut Merah’ ini telah diperkuatkan dengan pemain-pemain baru yang berpengalaman seperti Reshafiq Alwi, Zamri Morshidi serta pemain import Patrick Ronaldinho.

Noor Hisham ditemui ketika berlangsungnya majlis menandatangani kontrak pemain-pemain PKNS musim 2013 yang diadakan di Dewan HPAIC, Shah Alam pada Rabu.

Dalam pada itu, ketua jurulatih PKNS, Haji Abdulrahman Ibrahim mengakui sasaran yang diletakkan sesuatu yang mencabar namun tetap yakin anakbuahnya mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut.

“Kita kena harus terima cabaran. Jika kita letak sasaran terlalu rendah, itu tidak bagus untuk pasukan. Saya yakin dengan gandingan pemain baru dan lama ini, pasukan akan menampilkan persembahan yang lebih menarik berbanding tahun lepas” jelas Abdulrahman yang mula menggalas tanggungjawab jurulatih PKNS sejak 2009.

Nada yang sama turut diluahkan ketua pasukan, Helmi Remeli dengan mengakui cabaran musim 2013 lebih sukar dengan kehadiran pasukan-pasukan seperti ATM dan Johor Darul Takzim.

“Tanggungjawab memang agak berat namun kami satu pasukan sudah bersedia dengan semua pemain telah menunjukkan sikap bekerja keras. Keserasian antara pemain juga semakin baik” kata Helmi.

Dalam majlis tersebut, PKNS FC juga turut melancarkan laman web rasmi pasukan iaitu http://www.pknsfc.com.my/ untuk memudahkan peminat mengetahui maklumat terkini pasukan tersebut.