Connect with:




Stadium Perbandaran Manjung (MPM) bakal dijadikan gelanggang keramat rasmi buat PKNP FC yang sebelum ini tidak mempunyai stadium sendiri dan terpaksa berkelana di beberapa stadium musim lalu.

Perkara gembira itu disahkan sendiri Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang memberitahu pihaknya diberi penghargaan untuk menggunakan stadium mereka sebagai gelanggang tuan rumah PKNP FC musim ini.

“Stadium ini dikategorikan sebagai stadium yang layak bermain pada waktu malam.

“Alhamdulillah pihak Malaysian Football League (MFL) telah membuat lawatan dan memeriksa sendiri stadium berkenaan. Kita telah menepati aspek dan piawaian yang telah ditetapkan,” ujarnya selepas majlis Pelancaran jersi dan Pengenalan PKNP FC di Stadium MPM, malam tadi.

Katanya lagi, ia adalah suatu penghormatan buat PKNP FC yang akan memanfaatkan kelebihan yang diberi kepada mereka dengan sebaiknya.

Stadium MPM juga mampu memuatkan 14 000 hingga 18 000 penyokong dalam satu masa.

Sementara itu, Zainol Fadzi menyifatkan sokongan yang diberikan terhadap majlis pelancaran jersi sangat memberansangkan tidak seperti sebelum ini.

“Saya tak sangka menerima sambutan hangat dari penyokong bola sepak di sini (Manjung). Jarang kita dapat melihat crowd yang begitu ramai bagi sesi pelancaran jersi sepanjang empat tahun ini.

“Setakat hari ini, tempahan kad bermusim juga sudah mencecah lebih 200 kad walapun belum dijual secara rasmi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, PKNP FC turut menjadikan Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson sebagai ‘sekolah angkat’ buat pasukan.

Foto: Smart Komuniti Manjung