Connect with:




Selepas Safee Sali, kini bekas tonggak utama Kelantan, Mohd Badhri Radzi pula mengambil keputusan untuk meninggalkan Perlis selepas persatuan berkenaan berdepan kemelut kewangan hingga gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain mereka.

Bercakap kepada Berita Harian, Mohd Badhri atau Piya turut memberitahu lebih kurang lapan pemain lain juga sedang mencari pasukan baharu dan sudah pun meninggalkan Perlis.

Piya memberi bayangan akan kembali semula ke pasukan asalnya di Kelantan.

“Surat perlepasan saya akan berikan kepada PFA. Saya memang sudah angkat kaki. Mungkin selepas ini saya akan beraksi bersama Kelantan atau Kelatan United,” katanya kepada Berita Harian selepas sesi latihan terakhir  di padang Universiti Malaysia (UM), semalam.

“Kelmarin saya sudah jumpa Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Red Warriors Sdn Bhd (Fazli Mohammad). Kalau diikutkan saya setuju dengan syarat dia berikan dan kini hanya menunggu jawapan daripada pihaknya pula.

“Sekarang ini pemain (Perlis) semakin lama semakin tiada dan sekarang ini pun tinggal berapa kerat saja. Tujuh hingga lapan pemain sudah keluar dan saya difahamkan ada beberapa pemain lain lagi akan menyusul.”

Dalam pada itu, Piya mengharapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memanjangkan tempoh pendaftaran buat pemain Perlis yang sedang mencari pasukan baharu.

“Saya difahamkan permintaan kepada MFL ini dibuat oleh pemain Perlis sendiri. Jadi bagi saya berilah kelonggaran kepada pemain Perlis yang semua tahu berdepan masalah dalam pasukan ketika ini.