Pusingan kedua Tenis Malaysian Open 2012 menyaksikan kejutan berlaku selepas 2 pemain pilihan iaitu Feliciano Lopez dan Alexandr Dolgopolov tewas pada lawan masing-masing.

Lopez selaku pilihan ke-5 tewas 6-7, 6-7 kepada pemain Belanda, Igor Sijsling dalam satu perlawanan sengit yang mengambil masa selama 1 jam 31 minit manakala Dolgopolov pula terpaksa akur kepada pemain Colombia, Alejandro Falla 3-6, 6-3 dan 3-6.

Pilihan kelima, Feliciano Lopez tewas kepada Igor Sijsling dari Belanda

 

3 pilihan utama bagaimanapun menepati ramalan diketuai David Ferrer yang mudah menewaskan Alex Bogomolov Jr 6-4, 6-2 diikuti Juan Monaco yang menumpaskan Jimmy Wang 6-4, 7-5 serta pemain nombor 1 Asia, Kei Nishikori yang dipaksa bergelut sebelum menang 6-7, 6-2, 6-1 keatas pemain Sepanyol, A.Ramos.

Nishikori sekali lagi bakal menjadi tumpuan pada aksi suku akhir nanti dengan juara 2009, Nikolay Davydenko menunggunya pada pusingan tersebut. Davydenko nyata teruja untuk bertemu dengan Nishikori selepas mengesahkan tempat ke suku akhir dengan kemenangan 7-6, 6-4 keatas Denis Istomin dari Uzbezkistan.

Pilihan utama kejohanan, David Ferrer mudah lepasi halangan awal

 

“Saya tewas kepada Nishikori di pusingan kedua Sukan Olimpik London yang lalu. Jadi saya tidak sabar untuk bertemu dengan beliau sekali lagi di suku akhir nanti” jelas Davydenko yang kini telah mencecah usia 31 tahun.

Dalam kategori beregu pula, tiga pilihan utama kejohanan tidak berdepan masalah  dalam aksi peringkat suku akhir. Pasangan Matkowski-Frusternberg, Braciali-Melo serta Peya-Soares mudah menumpaskan lawan masing-masing untuk menempah slot separuh akhir.

Kesemua aksi suku akhir perseorangan dan 1 aksi separuh akhir beregu akan berlangsung pada Jumaat dengan pertemuan Juan Monaco menentang Vasek Posposil akan membuka tirai pada jam 2.15 petang.