Ferrer jelas kecewa dengan permainan beliau

 

Pusingan separuh akhir Tenis Malaysia Open Kuala Lumpur 2012 menyaksikan kejutan paling besar berlaku selepas pilihan utama, David Ferrer ditunjukkan jalan keluar oleh pemain veteran Perancis, Julien Benneteau.

Berusia 30 tahun, Benneteau yang juga pilihan ketujuh membuktikan dirinya masih berbisa dengan mengungguli set pertama 6-4 selepas pukulan forehand beliau sering memerangkap Ferrer.

Aksi cemerlang Benneteau berterusan di set kedua sehinggakan Ferrer kelihatan buntu untuk menyekat kemaraan Benneteau dengan pemain nombor 5 dunia ini ketinggalan 5-0 sebelum Benneteau mengesahkan kemenangan dengan keputusan 6-4, 6-1,

Ferrer yang ditemubual selepas perlawanan jelas kecewa dengan persembahannya pada pertemuan ini.

“Benneteau bermain lebih baik berbanding saya. Saya agak kecewa dengan keputusan ini namun saya akan kembali fokus untuk kejohanan akan datang” ulas Ferrer yang akan bermain di Beijing minggu hadapan.

Benneteau pula mengakui permukaan gelanggang keras banyak memberikan kelebihan kepada beliau berbanding Ferrer. Benneteau akan bertemu Juan Monaco di peringkat final yang beliau tidak pernah berhadapan sama sekali dalam gelanggang sepanjang kareernya.

“Peluang adalah 50/50. Monaco pemain yang konsisten . Saya cuma perlu mengekalkan prestasi saya sepanjang kejohanan dan kita akan lihat apa akan terjadi nanti” jelas Benneteau yang juga pemain ranking-34 dunia sebelum menutup temubual.