Connect with:




Piala Sudirman diperkenalkan sejak 1989 di Indonesia yang disertai oleh semua negara Asia dan beberapa buah negara bukan Asia.

Malaysia tidak pernah menjulang piala dalam kejohanan tersebut dengan pencapaian terbaik adalah mara ke separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China.

Mengapa namanya Sudirman? Bukan mengambil nama penyanyi tersohor Malaysia namun ia adalah cetusan ilham sempena nama Dick Sudirman iaitu bekas pemain Indonesia. Beliau juga merupakan pengasas Persatuan Badminton Seluruh Indonesia (PBSI).

Bagi edisi 2019, undian telah dijalankan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam yang menyaksikan skuad badminton negara bakal menghadapi laluan berliku pada saingan Piala Sudirman yang berlangsung di Nanning, China.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan D bersama China dan India sekali gus dilabel ‘kumpulan maut’.

Mempamerkan barisan pemain yang handal, China dan India tampil sebagai pilihan kedua dan kelapan kejohanan manakala skuad kebangsaan pula sekadar menjadi pilihan kesembilan dalan kejohanan yang bermula 19 hingga 26 Mei depan.

Pilihan pertama, Jepun diundi dalam Kumpulan A bersama Thailand dan Russia manakala Indonesia, Denmark dan England dalam Kumpulan B.

Juara bertahan, Korea Selatan diundi dalam Kumpulan C bersama Taiwan dan Hong Kong.

Pada edisi dua tahun lalu di Gold Coast, Australia, skuad negara hanya mara hingga peringkat suku akhir.

Difahamkan, tiada hadiah berupa wang dalam kejohanan ini ditawarkan buat para pemain. Mereka hanya bermain sekadar mengharumkan nama negara yang diwakili dan juga memperoleh mata ranking dunia BWF.

Foto: Tribunnews