Sekiranya beberapa dekad dahulu Pulau Duyong akan menyaksikan ianya dibanjiri oleh air setiap kali tiba musim monsun tetapi para penduduknya sudah tidak perlu mengharungi lagi peristiwa seperti itu sejak Empangan Kenyir siap pembinaannya dalam tahun 1988.

Namun sejak tahun 2005 Pulau Duyong sekali lagi mula dibanjiri. Tetapi kali ini ianya tidak mendatangkan sebarang masalah kepada para penduduknya kerana kali ini tempat tinggal mereka itu menyaksikan kebanjiran para ‘skipper’ yang bertaraf dunia yang berkumpul untuk menentukan juara jelajah dunia ‘match-racing’ yang diadakan di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa.

Kini ianya sudah masuk tahun ke 8 penganjurannya dan sejak beberapa hari lalu Pulau Duyong mula menerima kehadiran para ‘skipper’ yang mengidamkan kejuaraan Piala Monsun yang berprestij ini yang sekali gus akan menyaksikan pemenangnya menerima hadiah yang lumayan dan untuk salah seorang ‘skipper’ tersebut gelaran juara Alpari World Match Racing Tour (AWMRT) 2012.

Juara bertahan, Ian Williams bersama pasukan GAC Pindar kini sedang berusaha untuk mengejar pendahulu carta iaitu Mekonomen Sailing Team yang diterajui oleh Bjorn Hansen. Dengan hanya 2.25 mata sahaja yang memisahkan mereka berdua para peminat boleh menjangkakan suatu persaingan yang amat sengit di muara Sungai Terengganu kali ini.

‘Skipper’ berbangsa Sweden itu sudah mendahului carta sejak memenanngi kejohanan Korea Match Cup pada bulan Jun. Kecemerlangan itu diteruskan di halaman sendiri apabila beliau memenangi Stena Match Cup yang diadakan di Marstrand, Sweden sebulan kemudian.

Sementara itu Williams turut berjaya memenangi dua kejohanan musim ini di Chicago (Chicago Match Cup) dan Match Race Perancis yang diadakan di Marseille selain berjaya menaiki podium dalam tiga kejohanan jelajah yang lain untuk meletakkan diri beliau kembali bersaing dengan Hansen.

Namun rekod pertemuan di antara dua orang ‘skipper’ itu memihak kepada Hansen yang memenangi 9 dari 14 perlawanan mereka termasuklah dua kali ketika pusingan kalah mati serta mengeluarkan Williams dari pertandingan di St Moritz.

Ianya pasti menarik sekiranya salah seorang dari mereka akan memilih untuk bertemu sesama sendiri di peringkat suku-akhir nanti. Strategi ini digunakan oleh Ben Ainslie dalam tahun 2010 apabila memilih untuk bertemu pencabar utamanya ketika itu untuk kejuaraan WMRT, Matthieu Richard.

Ianya menjadi dan memberi pulangan yang tinggi apabila Ainslie dinobatkan sebagai juara musim itu. Dengan tiada tekanan lagi ‘skipper’ dari Britain itu turut merangkul kejohanan Piala Monsun 2010 sebelum ‘bercuti’ dari siri jelajah dunia itu untuk menumpukan perhatian kepada persediannya ke sukan Olimpik London 2012.

Kesemua lapan orang ‘skipper’ yang bertanding masih lagi mempunyai peluang untuk bergelar juara AWMRT namun buat Keith Swinton yang baru di musim pertamanya dalam siri jelajah ini ianya lebih kepada untuk mempertahankan kedudukannya di tempat ketiga dari cuba untuk bergelar juara.

Dengan hanya 6.75 mata yang memisahkan di antara beliau dan ‘skipper’ berpengalaman dan juga juara dua kali siri jelajah ini, Dato’ Peter Gilmour; Swinton sedar beliau harus bekerja keras bersama krew pasukan Black Swan Racing untuk menjadikan penyertaan sulungnya ini sesuatu yang bermakna.

Selain dari Swinton, dua orang lagi ‘skipper’ yang baru pertama kali bertanding sebagai pemegang kad jelajah berjaya meletakkan diri mereka dalam saingan. Mereka ialah Pierre-Antoine Morvan (Vannes Agglo Sailing Team) dan Laurie Jury (KIWI Racing).

Juara WMRT 2009, Adam Minoprio turut kembali ke arena di mana beliau menjulang kejuaraan tersebut. Kali ini dengan sokongan penajaan dari Alpari beliau bersama dengan krew lamanya akan bertanding di bawah nama Alpari Racing Team. Minoprio berharap persembahan yang baik di Terengganu akan membantu beliau untuk memperolehi kad jelajah untuk musim hadapan.

Johnnie Berntsson yang mengejutkan ramai peminat dengan kejayaannya menduduki tempat ketiga keseluruhan musim lepas berharap untuk mengulanginya lagi walaupun beliau kini hanya menduduki tangga ke lapan keseluruhan. Phil Robertson yang berjaya menduduki tempat teratas pusingan kelayakan Piala Monsun tahun lepas berada satu tangga di hadapan Berntsson.

Turut berjaya layak untuk bertanding dalam Piala Monsun ialah juara Sirkit ‘Match-Racing’ Malaysia 2012, Jeremy Koo bersama pasukan KFC Malaysia/KRT dan David Gilmour yang melayakkan diri melalui regata Warren Jones di Australia. Seorang lagi ‘skipper’ yang akan bertanding ialah peserta Amerika Syarikat, Taylor Canfield bersama US One Sailing Team.

Senarai Lengkap Peserta Piala Monsun 2012
1. Bjorn Hansen (Mekonomen Sailing Team)
2. Ian Williams (Team GAC Pindar)
3. Keith Swinton (Black Swan Racing)
4. Peter Gilmour (YANMAR Racing)
5. Pierre-Antoine Morvan (Vannes Agglo Sailing Team)
6. Laurie Jury (KIWI Racing)
7. Phil Robertson (WAKA Racing)
8. Johnie Berntsson (Berntsson Racing Team)
9. Jeremy Koo (KFC Malaysia/Koo Racing Team)
10. David Gilmour (Team Gilmour)
11. Adam Minoprio (Alpari Racing Team)
12. Taylor Canfield (US One Sailing Team)