Kelantan muncul juara treble musim ini setelah melengkapkan penguasaan di final Piala Malaysia

 

Indra Putra Mahayudin muncul wira Kelantan selepas jaringannya pada masa tambahan membawa The Red Warriors menjulang Piala Malaysia sekaligus menyaksikan Kelantan muncul juara treble pada musim 2012.

Kelantan membuka jaringan menerusi Nurshahrul Idlan Talaha selepas sepakan derasnya dari luar kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gol ATM, Farizal Harun.

Aksi dibabak kedua lebih menarik selepas Rezal Zambery Yahya berjaya menjaringkan gol juga menerusi sepakan deras luar kotak penalti pada minit ke-48. Kegembiraan ATM bagaimanapun hanya bertahan seminit sahaja selepas gerakan cantik Nurul Azwan Roya berjaya mengelirukan pertahanan lawan sebelum hantarannya disudahkan dengan cantik Norshahrul.

Usaha ATM mencari gol penyamaan kedua berhasil akhirnya selepas Marlon menanduk kemas bola yang berpunca dari sepakan percuma Rezal Zambery Yahya pada minit ke-61. Kedudukan 2-2 ini kekal sehingga wisel penamat untuk membawa perlawanan ke masa tambahan.

Indra Putra akhirnya memusnahkan impian ATM selepas menjaringkan gol cantik pada minit ke-95 yang juga gol kemenangan buat Kelantan. Aksi tegang kedua-dua pasukan juga jelas kelihatan pada penghujung perlawanan namun mujur pengadil perlawanan, Nafeez Abd Wahab bijak mengawal keadaan.

 

Bagi Indra, jaringan tersebut menjadi hadiah termanis buat pasukan dan penyokong setia Kelantan apatah lagi berjaya membantu pasukannya menjulang kejuaraan treble tahun ini.

“Malam ini merupakan malam terbaik yang pernah saya rasakan lebih-lebih lagi selepas menjaringkan gol kemenangan yang juga gol pertama saya pada pentas akhir Piala Malaysia sepanjang bergelar pemain bolasepak. Saya ucapkan terimakasih kepada semua penyokong dan rakan sepasukan yang banyak membantu Kelantan mencapai kegemilangan tahun ini” kata Indra yang ditemui selepas tamat perlawanan.

Nada berbeza diutarakan pengendali ATM, B.Sathianathan yang meluahkan rasa kecewa terhadap corak permainan Kelantan yang dilihat suka melengahkan waktu permainan.

“Mereka kata pemain ATM kebanyakannya kuda tua dan tak cergas. Kami bermain baik tapi saya tidak menjangka pemain lawan yang lebih mudah jatuh” jelas Sathianathan.

Dalam perlawanan tersebut, Norshahrul Idlan Talaha berjaya menutup mulut pengkritiknya dengan membawa pulang gelaran Pemain Terbaik Perlawanan Akhir. Anugerah Penjaring Terbanyak Piala Malaysia pula diberikan kepada Marlon Alex James selepas penyerang ATM ini berjaya mencetak 12 gol sepanjang kempen Piala Malaysia 2012 sementara Kuala Lumpur mendapat anugerah FairPlay.