Connect with:




Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan mengakui bukan mudah untuk The Red Giants berhadapan dengan Kelantan dalam pusingan kedua Shopee Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

B. Sathianathan berkata walaupun di atas kertas Kelantan hanyalah pasukan dari Liga Perdana, namun beliau mengakui bahawa Kelantan mempunyai pemain muda yang berkualiti dan berbakat besar.

“Jangan memandang rendah pasukan Kelantan kerana mereka berada di Liga Perdana. Walaupun mereka bukan lagi berada di liga yang sama dengan kami (Liga Super) mereka tetap mempunyai pemain-pemain yang berkualiti.

“Ini dapat dibuktikan seramai empat pemain muda Kelantan yang yang dipanggil jurulatih Malaysia Bawah 23 Tahun, Datuk Ong Kim Swee untuk aksi kelayakan Kejuaran B-23 AFC baru-baru ini.

“Itu sudah jelas membuktikan bahawa Kelantan mempunyai ramai pemain mudah berkualiti dan ia pasti bakal memberikan kesukaran kepada Selangor.

“Malah bukan itu sahaja yang kami perlu hadapi, kami juga terpaksa berhadapan dengan ribuan penyokong Kelantan yang sudah diketahui kesetiaan mereka memberi sorakan kepada pasukan mereka. Jadi sudah pasti kami bakal menghadapi tugas berat dan kami perlu sentiasa berwaspada,” katanya.

Tambahnya lagi, pasukannya agak tempang apabila beberapa tongak utama mengalami kecederaan. Sebelum ini Selangor terpaksa kehilangan penyerang berbisa, Rufino Segovia dan kini mereka turut mengetepikan Endrick dos Santos dan Halim Saari yang turut mengalami kecederaan.

“Agak sukar bagi kami tetapi mungkin ini masanya kami menggunakan pemain gantian yang dipilih dan berharap mereka membalas kepercayaan yang diberikan.

“Saya mungkin akan menurunkan Nurridzuan Abu Hassan dan Khyril Muhymeen untuk menggantikan dua pemain tersebut, selebihnya gandingan pemain sedia ada.

“Saya masih tidak pasti kami akan lepas pusingan ini, ia masih 50-50, ia akan ditentukan dengan persembahan yang ditunjukan oleh pemain dalam perlawanan itu nanti,” kata B. Sathianathan. – Kelantan FC

 

Foto : Selangor FA