Pasukan Ngap Sayot, Sarawak dijangka akan menghadapi laluan yang sukar pada saingan Piala FA 2012 setelah diundi menentang pasukan gergasi, Kelantan pada pusingan pertama. Perlawanan yang dijangka akan dilangsungkan di Kota Bharu itu akan menyaksikan pertemuan
di antara dua jurulatih asing iaitu Robert Alberts sebagai ketua jurulatih Sarawak, dan Peter Butler yang kembali memegang portfolio ketua jurulatih pasukan Kelantan buat kali kedua.

Mengulas mengenai perlawanan ini, jurulatih pasukan Sarawak, Robert Alberts kelihatan tenang dan mengambil langkah bijak dengan tidak ingin bercakap tentang sasaran pasukan pada saingan kali ini, sebaliknya lebih berminat untuk fokus terhadap perlawanan pusingan pertama yang akan dihadapi pasukan Sarawak.

Beliau dipetik berkata,”Bagi saya, ini adalah perkara biasa. Kita semua tahu tentang reputasi Kelantan sebagai salah sebuah pasukan terkuat di Malaysia. Jadi, sekiranya kita mampu menewaskan mereka pada perlawanan pusingan pertama ini, saya yakin pasukan Sarawak mempunyai peluang yang cerah untuk mara setapak ke hadapan. Kita lihat dulu apakah keputusan yang akan diperoleh daripada perlawanan yang pertama ini, sebelum kita bercakap mengenai peluang pasukan Sarawak.”

Pasukan Sarawak baru sahaja pulang daripada kem latihan mereka di Indonesia pada dua hari yang lepas. Berdasarkan kem latihan mereka di sana, Robert Alberts yakin bahawa pasukan Ngap Sayot mampu mencipta sesuatu pada musim yang akan datang.

“Berdasarkan daripada prestasi kami di Indonesia tempoh hari, pasukan Sarawak telah menunjukkan prestasi yang positif. Kami dibarisi pemain-pemain baru, dan suasana pasukan yang baru. Apa yang penting pada permulaan musim ini adalah prestasi yang baik perlu ditunjukkan pada awal musim. Sekiranya kita mampu menunjukkan prestasi yang baik, keyakinan para pemain juga akan bertambah. Saya yakin pasukan Sarawak telah melakukan persiapan pra-musim yang baik.” ujar beliau.

Mantan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM) ini juga turut menambah, “Keputusan kami untuk menjalani sesi latihan di Indonesia ternyata membuahkan hasil. Kami telah meluangkan masa bersama-sama,  jadi keserasian kami juga bertambah baik. Pasukan-pasukan di sana juga mempunyai kualiti yang berbeza dan lebih baik daripada apa yang ada di Malaysia. Cara dan budaya permainan yang berbeza di Indonesia sedikit sebanyak telah membantu pasukan, dan ini yang saya mahukan. Secara keseluruhan, kem latihan kami di Indonesia sangat membuahkan hasil.”

Pemenang daripada perlawanan di antara Kelantan menentang Sarawak ini akan berjumpa dengan pemenang daripada perlawanan di antara Kuala Lumpur dan MP Muar, pada pusingan kedua.

Selain itu, keputusan undian penuh perlawanan pertama Piala FA 2012 yang akan bermula pada 18 Februari 2012 ialah :

Pasukan-pasukan adalah terdiri daripada pasukan Liga Super 2012, pasukan Liga Premier 2012 dan 6 pasukan teratas Liga FAM
2011.

Di bahagian pertama merangkumi perlawanan di antara Terengganu menentang PDRM, Perak menentang ATM, UiTM menentang Lions XII,
Betaria FC menentang Melaka, Pos Msia menentang USM, Sime Darby menentang Sabah, NS menentang Johor FC, Shahzan Muda menentang Selangor

Di bahagian kedua pula terdiri daripada perlawanan di antara Kelantan menentang Sarawak, KL menentang MP Muar, Harimau Muda B menentang P.Pinang, KL SPA menentang MBJB, Kedah menentang Selangor PKNS, Perlis menentang PPSDM, Johor menentang T-Team, Felda United menentang Pahang.

Pada perlawanan akhir pula akan menampilkan pasukan daripada bahagian pertama dengan pasukan daripada bahagian kedua. Mengikut peraturan pada saingan kali ini, sekiranya pasukan olimpik kebangsaan layak ke perlawanan “play-off”, maka pasukan yang layak ke peringkat suku akhir akan bermain tanpa pemain olimpik kebangsaan.