Piala FA akan membuka tirainya hari ini dan 3 perlawanan yang melibatkan 6 pasukan Liga Super pastinya menjadi tumpuan peminat-peminat tempatan. Selangor-ATM, Johor Darul Takzim-Perak dan PKNS-LionsXII antara perlawanan pusingan awal yang melibatkan pertemuan sesama pasukan Liga Super.

Bagi juara 5 kali iaitu Selangor, mereka berada dalam prestasi yang agak baik menerusi kemenangan 3-2 keatas Pahang serta keputusan seri di Lumut tempoh hari. Beraksi di tempat sendiri juga menjadi salah satu kelebihan buat pasukan bimbingan Irfan Bakti ini.

Namun, mereka kini menghadapi 2 masalah. Pertama, senarai kecederaan yang membelenggu pasukan mereka dan yang kedua, lawan mereka iaitu ATM juga berada dalam prestasi memuncak ketika ini.

Forkey Doe berjaya tamatkan kemarau

Forkey Doe berjaya tamatkan kemarau

 

Pertembungan 2 pasukan ini juga bakal memperlihatkan keupayaan 2 penyerang import mereka. Forkey Doe mula mendapat kembali sentuhan menerusi jaringannya di Lumut sementara Marlon Alex James kini sudahpun mengumpul 4 jaringan.

Di Larkin pula, Darul Takzim FC akan melayan kunjungan Perak. Kelibat Dani Guiza pasti ditagih selepas aksinya semakin hari semakin mantap. Perak pula masih lagi dilihat mempunyai masalah penyudah yang tumpul namun kelibat Failee Ghazali dan Hadi Yahya tidak boleh dipandang sebelah mata oleh barisan pertahanan Harimau Selatan.

Pertemuan di peringkat liga sebelum ini menyaksikan kemenangan tipis 1-0 Darul Takzim keatas Perak yang terpaksa bermain 9 orang namun pengendali Seladang, Azraai Khor mengingatkan pasukannya pertemuan kali ini berbeza dan percaya pasukannya mampu membenam cabaran Darul Takzim di gelanggang sendiri.

Sentuhan Dani Guiza makin berbisa

Sentuhan Dani Guiza makin berbisa

 

Sementara itu, cabaran besar menanti LionsXII yang akan berhadapan PKNS FC di Stadium MBPJ. PKNS FC sememangnya menjadi pasukan ‘badi’ buat Lions selepas rekod mereka menentang ‘Semut Merah’ di gelanggang lawan nampak kurang menyakinkan apatah lagi barisan pemain Abdul Rahman Ibrahim masih segar dengan kemenangan keatas lawan mereka di Shah Alam 2 minggu yang lepas.

Namun, kembalinya Baihakki Khaizan dan Fazrul Nawaz yang terlepas aksi di Kuala Terengganu Selasa lepas memberi tonik buat V.Soondramorthy untuk memastikan pasukannya dapat melangkah ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala FA ini.

Sementara itu, Kelantan dan Sime Darby akan berehat untuk pusingan ini selepas mendapat bye berdasarkan pencapaian kedua-dua pasukan ini pada musim lalu. Perlawanan lain yang turut dijangka mencuri tumpuan ialah Pahang menentang Johor, Sabah bertemu Felda United dan KL SPA menentang Terengganu.

Berikut merupakan perlawanan pusingan pertama Piala FA:

– Selangor PKNS FC lawan Lions XII FC (4.15 petang, Stadium MBPJ)
– Sarawak lawan Melaka (8.15 malam, Stadium Negeri)
– Kuala Lumpur lawan Pos Malaysia (4.15 petang, Stadium Cheras)
– PBAPP lawan Preach Khan Reach (4.15 petang, Stadium Bandaraya)
– UiTM lawan Negri Sembilan (4.15 petang, Stadium UiTM)
– PDRM lawan Pulau Pinang (4.15 petang, Stadium hang Jebat)
– SPA Putrajaya lawan Terengganu (4.15 petang, Stadium Selayang)
– Kedah lawan NS Bestaria (8.45 malam, Stadium Darul Aman)
– Johor Darul Takzim lawan Perak (8.45 malam, Stadium Larkin)
– Sabah lawan Felda United (4.15 petang, Stadium Likas)
– Selangor lawan ATM (8.45 malam, Stadium Shah Alam)
– Johor vs Pahang (4.15 petang, Stadium Pasir Gudang)
– Pahang Kuantan Port lawan Tentera Darat (4.15 Petang, Stadium Temerloh)
– T-Team vs Perlis (4.15 petang, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin)