Malam ini akan jadi penentu empat pasukan terbaik yang bakal layak ke separuh akhir Piala FA 2012. Dengan Kelantan sudah sebelah kaki ke separuh akhir, pasukan lain kelihatan masih mencongak peluang mereka untuk menyertai Kelantan.

Pertembungan Kedah dan T-Team pastinya menarik kerana kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan ketika bertembung di Alor Setar tempohari. Berbekalkan rekod kemenangan besar dalam aksi Liga Super  dan cuma sekali sahaja kalah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, T-Team pasti sekali lagi mahu menjinakkan Kedah di gelanggang mereka itu.

Kedah akan beraksi tanpa penyerang utama mereka musim ini, Khyril Muhymeen yang digantung satu perlawanan akibat mengumpul dua kad kuning. Jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan menggesa anak-anak buahnya melupakan kekalahan besar kepada T-Team sebelum ini sambil menegaskan bahawa fokus perlu diberikan kepada perlawanan penting mala mini.

Sementara itu, Johor FC mahu memastikan mereka layak ke separuh akhir apabila turun di laman sendiri menentang pasukan dari Liga Perdana, Sime Darby. Kudrat penyerang import, Arthuro Henrique bakal ditagih lagi untuk merobek gawang pelawat malam ini.

Sime Darby juga dilihat mahu melakar sejarah mereka tersendiri. Walaupun bukan pendahulu Liga Perdana ketika ini, mereka adalah wakil tunggal liga tersebut yang masih beraksi di peringkat suku akhir Piala FA ini dan mengejutkan Johor FC 3-2 dalam aksi pertama suku akhir tempohari.

Juara bertahan, Terengganu membawa bekal kurang selesa ke kandang lawan, Lions XII malam ini. Mereka yang menang 1-0 di Kuala Terengganu sebelum ini dilihat akan dicabar habis-habisan oleh pasukan dari seberang tambak itu. Ayam tambatan mereka, Forkey Doe pasti menjadi harapan disamping mengharapkan benteng kukuh mempertahankan gawang.

Rekod pertembungan kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Super di Stadium Jalan Besar menyaksikannya berpihak pada Terengganu yang menang tipis 1-0 penghujung Januari lalu. Ini adalah peransang buat anak-anak buah Mat Zan Mat Aris dalam memastikan kejuaraan Piala FA dipertahankan.

Satu lagi aksi pastinya pasukan dari Liga FAM, KL SPA FC yang membuat kejutan layak ke suku akhir. Menentang Kelantan sememangnya bukanlah tandingan buat mereka apabila tewas 0-3 di Bukit Jalil tempohari. Walaubagaimanapun, jurulatih mereka Mohd Nidzam Jamil sudah berpuas hati dengan apa yang telah dipamerkan pemain-pemainnya.

Di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan dilihat tetap berwaspada dengan pasukan pelawat yang beberapa kali menggegarkan gawang mereka tempohari. Menurut jurulatih, Bojan Hodak, mereka tidak akan mengambil mudah perlawanan pada malam ini dan pastinya mahu menggembirakan penyokong mereka.