Connect with:




Masyarakat di Malaysia khususnya golongan bangsa India amat sinonim dengan permainan tradisional Kabaddi. Sehubungan itu, sempena Tahun Melawat Melaka 2019, Piala Dunia Kabaddi 2019 telah menerima sokongan untuk mengadakan kejohanan tersebut pada awal April depan di Melaka.

Namun, kontroversi tercetus selepas Persatuan Kabaddi Malaysia (KAM) mempersoalkan kesahihan kejohanan berkenaan yang dikatakan tidak mendapat ‘restu’ dari Persatuan Kabaddi Antarabangsa dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Presiden KAM, M. Sathasivam mendakwa acara itu juga tidak menerima persetujuan daripada badan induk Persatuan Kabaddi Dunia, Persatuan Kabaddi Asia Tenggara dan Kementerian Belia dan Sukan.

Malah, Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Kerajaan negeri Melaka dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka turut menarik balik sokongan yang diberikan pada September 2018 untuk penganjuran kejohanan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan, Kerk Chee Yee,  telah menghantar surat yang menyebut pihak kerajaan menarik balik sokongan untuk penganjuran kejohanan yang ditujukan kepada Setiausaha Agung World Kabbadi, yang juga pengerusi penganjur kejohanan, S T Arasu.

“Adalah dimaklumkan pihak kami sudah menerima surat daripada Persatuan Kabaddi Malaysia (KAM) berkenaan status dan kelayakan Persekutuan Kabaddi Malaysia (MKF) untuk menganjurkan kejohanan itu,” kata Exco Kerajaan Negeri Melaka dalam surat berkenaan.

“Isu status dan kelayakan persatuan tuan dikaji dan diulas, dukacita dimaklumkan pihak kami bersama MSN Melaka mendapati walaupun MKF berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan, ia secara dasarnya tidak diiktiraf oleh Persatuan Kabaddi Antarabangsa dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM)”.

Terdahulu, sebuah laman portal sebelum ini melaporkan Kejohanan Piala Dunia Kabaddi 2019 akan disertai 34 negara di seluruh dunia di kawasan Perkampungan Portugis, pada 6 hingga 14 April ini.

Sekiranya ianya terjadi, kejohanan berprestij itu berkemungkinan membabitkan lebih 759 atlet dari seluruh negara yang akan berkampung di Melaka nanti.

Selain menjadikan sukan itu yang pada asalnya adalah permainan tradisional kaum India, ia juga dapat mengubah persepsi rakyat Malaysia sebagai sukan olahraga bertaraf antarabangsa.

Tetapi, peluang yang diberikan untuk menganjurkan kejohanan itu mungkin sekadar angin yang bertiup dan berlalu pergi dek kerana tidak mendapat restu dari pihak tertentu.