Bagi menyambut ulangtahun ke-100 Argentina, Uruguay dan Paraguay mencapai kata sepakat akan bergabung untuk membida penganjuran Piala Dunia 2030, presiden ketiga-tiga negara itu mengesahkan semalam.
Presiden Paraguay Horacio Cartes sebelum ini berkata, negaranya akan berkongsi pembidaan dengan jiran mereka Argentina dan Uruguay yang menganjurkan edisi sulung pada tahun 1930 dan muncul juara.
“Mesyuarat pertama (untuk persediaan pembidaan) akan diadakan pada minggu pertama November,” kata Cartes. “Negara-negara lain sudah pasti mahu menjadi tuan rumah tetapi kelebihan pada Uruguay sempena ulang tahun ke-100 tahun ini sejak mereka menganjurkan edisi pertama.”
Cartes bertemu dengan rakan sejawatnya di Argentina dan Uruguay, Mauricio Macri dan Tabare Vazquez di Buenos Aires semalam untuk memuktamadkan pengumuman berkenaan.
Bagi negara dari benua Amerika Selatan menganjurkan Piala Dunia buat kali terakhir adalah Brazil selaku tuan rumah penganjuran yang berprestij ini pada tahun 2014.
Selain daripada itu, tiga negara gergasi bolasepak ini juga mendapat saingan yang sengit apabila negara dari rantau Asia, China turut menjadi pembida untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030.
Gabungan Amerika Syarikat-Mexico-Kanada mempunyai kelebihan untuk menjadi tuan rumah pada tahun 2026 apabila hanya Maghribi satu-satunya negara yang turut membida edisi berkenaan.
Piala Dunia 2026 bakal menyaksikan 48 pasukan bersaing di pusingan akhir buat kali pertama berbanding format 32 pasukan ketika ini.
Piala Dunia seterusnya akan berlangsung di Russia tahun depan, dengan Qatar mengambil alih penganjuran pada tahun 2022. – AFP
Foto Kredit: Argnoticias