Connect with:




Tidak dapat disangkal lagi Selangor merupakan negeri yang cukup aktif dalam penganjuran acara bola sepak baik di peringkat amatur mahu pun akar umbi. Setiap minggu, pasti ada sahaja kejohanan bola sepak berlangsung di sekitar negeri ini.

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian, adalah tidak dapat untuk dinafikan bahawa Kejohanan-Kejohanan bawah umur di Selangor ini kebanyakannya lebih banyak disertai pasukan-pasukan dari kawasan bandar. Ini menerbitkan jurang antara remaja bandar dan remaja luar bandar dari aspek penglibatan dalam aktiviti bola sepak kompetitf.

Kerajaan Negeri Selangor menyedari perkara tersebut lantas timbulnya idea penganjuran Piala Budak Kampung yang akan dijalankan pada 14 hingga 15 Mac ini di Rhino KV Arena, Shah Alam. Kejohanan tersebut dibahagikan kepada 2 kategori iaitu bawah 14 dan 17 tahun.

Menurut EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, YB Mohd Khairuddin bin Othman, kerajaan negeri mahu dilihat inklusif terhadap semua lapisan masyarakat di Selangor dan bukannya hanya memberi fokus kepada kumpulan-kumpulan tertentu.

“Kita sedia maklum disebabkan beberapa faktor seperti kewangan menyebabkan kesukaran untuk remaja luar bandar mendapat akses bagi menyertai Kejohanan-Kejohanan kompetitif.

“Sebab itu kita anjurkan Piala Budak Kampung yang bertindak sebagai platform untuk remaja dan pasukan luar bandar merasai sendiri pengalaman beraksi dalam peringkat yang lebih kompetitif. Mereka cuma perlu hantarkan penyertaan sahaja sementara yuran ditanggung sepenuhnya” tambah Khairuddin.

“Saya percaya ramai bakat-bakat bola sepak di negeri ini mampu dicungkil dari kawasan luar bandar” tegasnya lagi.

Sehingga hari ini, lebih 100 pasukan telah mengesahkan penyertaan. Selain pertandingan bolasepak, terdapat juga acara-acara sampingan seperti klinik bolasepak bersama lagenda Selangor, Kejohanan e-sport, persembahan busker dan jualan makanan sepanjang berlangsungnya Piala Budak Kampung ini.

Tonton video penuh temubual Dunia Sukan bersama YB Khairuddin mengenai Piala Budak Kampung di bawah.