Connect with:




Kejohanan bolasepak paling utama di Asia iaitu Piala Asia akan bermula dari 5 Januari ini hingga 1 Februari dengan format penyertaan baharu iaitu 24 pasukan berbanding 16 sebelum ini.

Emeriah Arab Bersatu (UAE) dipilih menjadi tuan rumah untuk edisi kali ini. Ia merupakan kali kedua UAE menjadi tuan rumah selepas menganjurkannya pada tahun 1996.

Bagi peminat bolasepak Malaysia, walaupun Piala Asia masih lagi dalam bayangan Kejuaraan Eropah (EURO) yang lebih popular, ia tetap mendapat perhatian terutamanya selepas pasukan bertanding mempertaruhkan barisan terkuat untuk memenangi piala tersebut.

Seperkara yang menarik, beberapa pemain pada edisi kali ini pernah berkelana ke Malaysia untuk beraksi di Liga Malaysia. Pasti ada penyokong-penyokong kelab tersebut merindui aksi mereka (atau lebih menghargai mereka pergi kerana tidak cemerlang ketika bermain di Malaysia).

Berikut merupakan ‘alumni’ Liga Malaysia yang beraksi di Piala Asia 2019.

1) HASSAN CHAITO

Pada mulanya Chaito telah menandatangani kontrak semusim bersama Terengganu pada 2015. Playmaker Lubnan ini berjaya menunjukkan persembahan mantap pada sesi pra-musim. Bagaimanapun kecederaan yang dihadapinya membuatkan PBSNT terpaksa menamatkan kontrak lebih awal. Chaito tidak sempat untuk membuat penampilan secara rasmi di Liga Malaysia (namun sempat menyarung dan bergambar bersama jersi Terengganu).

 

2) ANDREW NABBOUT

Semua Jang terkejut menyaksikan bekas pemain mereka beraksi di Piala Dunia di Rusia, tahun lalu bersama Australia. Nabbout pernah membantu Negeri mendominasi pentas Liga Premier untuk enam bulan pertama pada musim 2016 menerusi 9 gol dalam 14 penampilan. Bagaimanapun, itu masih belum cukup meyakinkan pengurusan PBNS yang akhirnya menggugurkannya pada pertengahan musim.

 

Kredit Foto: Getty Image

3) JONATHAN CANTILLANA ZORRILLA

Pemain kelahiran Chile yang berusia 24 tahun ini menjaringkan gol pertama Palestin dalam kemenangan 6-0 ke atas Malaysia pada November 2015 di Amman. Pada 2016, dia menggantikan Mario Karlovic untuk menjadi import baharu pasukan Kuala Lumpur.

 

4) YASHIR ISLAME

Seorang lagi pemain Palestin yang pernah beraksi di Liga Malaysia ialah Yashir Islame Pinto. Yashir membantu Melaka United menjuarai Liga Perdana pada 2016 sebelum menyertai Perak pada musim berikutnya.

 

5) ALVARO SILVA

Pertahanan Filipina ini beraksi untuk Kedah pada tahun lalu dan nampaknya selepas semusim, beliau gagal untuk meyakinkan penyokong Hijau Kuning. Dilahirkan di Sepanyol dan memulakan karier bolasepaknya bersama pasukan remaja Malaga, Silva boleh mewakili Filipina berdasarkan keturunan moyang sebelah neneknya.

 

6) IAIN RAMSAY

Boleh beraksi untuk salah satu negara ini iaitu Australia, Scotland dan Filipina, Iain Ramsay akhirnya memilih negara Asean tersebut sebagai pasukannya di persada antarabangsa. Iain beraksi untuk FELDA United sebelum ini dan baru-baru ini dilaporkan telah menandatangani kontrak bersama kelab Liga 1 Thailand, Sukhothai FC.

 

7) PAVEL MATYASH

Jarang pasukan di Malaysia akan mengambil pemain import di posisi penjaga gol namun itulah yang dilakukan UiTM FC pada tahun 2016 yang menandatangani Pavel Matyash, seorang penjaga gol dari Kyrgyzstan. Matyash sebelum itu beraksi di Maldives bersama kelab Maziya.

 

Kepada kaki fantasy football, jangan lupa untuk sama-sama meriahkan Asian Cup 2019 dengan menyertai Fantasy Football AsianCup2019. Kalau anda ada league, jangan lupa jemput untuk sertai dengan berkongsi kod atau link liga di ruangan komen.