DUNIA SUKAN

Satu gerakan gabungan penyokong bola sepak tempatan yang menggelarkan diri mereka ‘Presiden FAM Sila Letak Jawatan’ (PFSLJ) menggesa rombakan besar-besaran dilakukan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mereka menggesa agar Presiden FAM Sultan Ahmad Shah meletak jawatan dan
memberi peluang kepada pemimpin baharu yang mempunyai banyak visi dan idea segar dalam memartabatkan kembali kegemilangan bola sepak negara.

Wakil PFSLJ, Al Fadli Awaludin berkata pengurusan tertinggi FAM yang tidak
pernah bertukar sejak 28 tahun lepas, perlu diberi nafas baru bagi meletakkan
Malaysia dalam peta bola sepak dunia dan bukan lagi berada dalam pasukan Gred D.

“Ini, bukan bererti pucuk pimpinan sekarang tidak cukup bagus untuk
menguruskan bola sepak negara tetapi apabila sesebuah persatuan itu dikendalikan
orang yang sama dalam jangka masa panjang, mereka kehabisan idea.

“Idea yang sama akan terus diulang menyebabkan pasukan bola sepak kebangsaan
kita tidak akan berubah dan membangun seperti negara lain yang sebelum ini
setaraf dengan kita…sekarang mereka lebih maju,” katanya pada sidang media di
Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil di sini.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah wakil daripada penyokong skuad
Harimau Malaya iaitu Ultras Malaya, Norazwan Mohamad. PFSLJ turut menyelar kewibawaan FAM yang tidak mengatur banyak perlawanan kelas A untuk Harimau Malaya sedangkan kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dikeluarkan setiap empat tahun bagi membolehkan semua negara
menyusun jadual liga tempatan dan antarabangsa.

Al Fadli berkata gerakan itu turut membidas FAM kerana sering kali meletakkan kesalahan ke atas jurulatih dan skuad bola sepak negara jika gagal dalam sesuatu kejohanan dan tidak kepada badan induk bola sepak negara itu.

“FAM seharusnya bersama-sama memikul tanggungjawab dan bebanan yang
ditanggung pemain serta jurulatih setiap kali berakhirnya sesuatu kejohanan.

“Selama 28 tahun kami disajikan dengan plot kekalahan dan kemunduran skuad
bola sepak kebangsaan tanpa FAM dipersalahkan, sebaliknya pemain dan jurulatih
dipersalahkan sepenuhnya,” katanya.

PFSLJ yang ditubuhkan sejak 2009, hari ini buat pertama kalinya
memperkenalkan diri mereka kepada umum bagi memastikan nasib skuad bola sepak negara tidak terus merudum. – BERNAMA