logo perlis

Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) hari ini menafikan dakwaan bahawa dua pemain import baharu mereka telah dilarikan oleh ejen pemain berkenaan ke negara lain.

Sebaliknya, Setiausaha Kehormat PFA Dr Ammar Hassan berkata kedua-dua pemain
berkenaan iaitu Emmanuel Okine dari Ghana dan Zakaria Charara dari Lubnan yang
dibawa dari Kelantan, sedang menjalani latihan di bawah bimbingan bekas pengendali pasukan T-Team, Yunus Aliff bagi menghadapi Liga Perdana musim depan.

“Ini semua kesilapan teknikal kerana kita telah pun menyerahkan nama
kedua-dua pemain berkenaan kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain import pada 6 Dis lepas.

“Sebelum ini, saya ada mendengar desas-desus bahawa ejen mereka telah
mengadakan rundingan dengan salah sebuah kelab di Thailand namun saya difahamkan mereka gagal mencari kata sepakat,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM Datuk Hamidin Mohd Amin
pada sidang media di Wisma FAM semalam, dilaporkan berkata bahawa pasukan
‘Singa Utara’ itu gagal mendaftarkan dua pemain import untuk saingan Liga Perdana musim depan kerana mendakwa mereka telah dilarikan oleh ejen terbabit ke negara lain.

Mengulas lanjut, Ammar berkata PFA telah mengikat kontrak selama setahun
dengan kedua-dua pemain berkenaan sehingga penghujung tahun depan.

Mengenai sasaran pasukan berkenaan dalam Liga Perdana musim depan, Ammar
berkata pengurusan pasukan hanya meletakkan sasaran untuk memastikan mereka
kekal bersaing dalm liga yang sama sehingga musim 2014.

“Sekiranya kita berjaya melayakkan diri ke Liga Super pada 2014, ia adalah
satu bonus kepada pengurusan pasukan. Saya bagaimanapun yakin dengan barisan
pemain serta jurulatih baharu, pasukan Perlis mampu memberi saingan hebat dalam
Liga Perdana musim depan,” katanya.

Perlis sebelum ini diturunkan ke Liga FAM pada musim depan selepas menduduki
tangga ke-11 daripada 12 pasukan dalam Liga Perdana musim ini. FAM, bagaimanapun memutuskan untuk mengekalkan pasukan itu dalam saingan
Liga Perdana musim ini selepas beberapa kelab mengambil keputusan menarik diri
kerana dikatakan berdepan dengan masalah kewangan. – BERNAMA.