Bangkok – Seramai 22 peserta Asia Fifa Gaming Championship (AFGC) tidak berpuas hati dan kecewa dengan pihak penganjur acara tersebut.

Rata-rata peserta yang hadir mendakwa penganjur kejohanan tersebut tidak berlaku adil dan berat sebelah.

Malah, lebih mengecewakan para peserta yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut pada hari Khamis lalu mengadu bahawa pihak penganjur melakukan kerja seperti melepaskan batuk di tangga.

AFGC 2017 yang menjanjikan hadiah sebanyak 500 SGD (1563 MYR) bertukar menjadi keruh apabila penganjur yang dikenali sebagai Santanu Basu telah menetapkan perlawanan tanpa sebarang proses undian di kalangan pemain.

Jadual kejohanan pula ditangguhkan sehingga 7 petang (waktu tempatan Thailand) akibat perselisihan fahaman tentang pengurusan tempat.

Keadaan bertambah tegang setelah Basu secara tiba-tiba menukarkan sistem perlawanan liga kepada kalah mati bagi menjimatkan masa kejohanan tersebut.

Menurut Basu, demi mengelak kerugian yang terpaksa ditanggung dia mengambil keputusan untuk menukar format perlawanan.

“Saya terpaksa menanggung kerugian yang besar selain terpaksa menempah tiket penerbangan para peserta sekiranya tidak berbuat demikian,” ujar penganjur yang berpengalaman selama empat tahun itu.

“Jika mereka tidak mahu berkerjasama, mereka boleh pulang,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan Fire Dragoon (FDG), Faisal Ariffin meluahkan kekecewaannya terhadap pihak pengurusan kejohanan itu dan mahu perlawanan tersebut dijalankan secara adil bagi semua.

Tambahnya, dia juga mahu pihak yang bertangungjawab tampil dan menanggung kerugian yang dialami pemain ekoran penganjur bersikap alpa.

“Kami tidak kisah tewas jika kejohanan ini dilakukan secara adil dan tulus, kasihan pada pemain yang datang dari jauh tetapi hanya berpeluang bermain satu pusingan sahaja.

Amtuah (kanan) dari Fire Dragoon, Malaysia menentang peserta dari Indonesia.

“Mereka telah mengambil masa yang agak lama untuk memperbaiki keadaan dan sudah tentu saya amat kecewa dengan pengurusan pihak penganjur,” kata pengurus FDG yang juga dikenali sebagai Spiderjal.

Menurut laporan, Kartkeya dari India muncul juara kejohanan tersebut dengan menewaskan Andi peserta dari Indonesia, keputusan akhir 2-0. Manakala Santu dari Bangladesh muncul tempat ketiga.